Mempunyai bakat seni dan meminati bidang tersebut sejak kecil menjadi pendorong utama buat pendatang baharu, Yang Mulia Tunku Ines Najihah Raden, 20, atau nama pentasnya, Ines menceburi bidang nyanyian secara professional.
Dicipta Oleh Edry Abdul Halim
Sebagai permulaan, Ines telah merakamkan sebuah single berjudul Andai yang dicipta oleh komposer terkenal, Edry Abdul Halim sekitar Mac lalu.
Lagu bergenre pop itu menjadi taruhan pertama Ines untuk meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi masa kini.
Puteri kesayangan Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Yang Mulia Tunku Dato’ Seri Mimi Wahida Raden ini juga teruja dengan penerimaan ramai untuk lagu Andai buat julung kalinya.
Lagu Andai dirakamkan di Studio Scifi, Damansara Perdana, Selangor dengan durasi selama 3:36 minit.
Sebelum itu, Ines mengikuti latihan vokal secara intensif bersama Cikgu Siti Hajar Ismail selama beberapa bulan dan Archie Nasution bertindak sebagai juruvokal sewaktu proses rakaman lagu Andai berlangsung.
Meminati KRU
Andai turut menampilkan Qaseh, sebagai featuring dalam lagu ini. Ines merupakan artis pertama di bawah naungan syarikat Raden Venture Plt. sementara edaran lagu oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. (Rocketfuel).
Berhubung pemilihan lagu Edry untuk memperkenalkan dirinya dalam industri hiburan, pelajar tahun akhir jurusan Komputer Sains di Universiti Nottingham ini memberitahu dia amat mengagumi karya-karya hasil ciptaan figura itu.
Meminati lagu-lagu popular dendangan KRU termasuklah Tiga Kata, Ines juga merasakan pemilihan Edry sebagai komposer pertama lagunya itu amat tepat kerana lelaki tersebut mempunyai kepakaran dan pengetahuan luas khusus dalam bidang muzik.
Proses perbincangan antara pihak Ines dan Edry dilakukan dalam alam maya kerana sewaktu itu Edry menetap bersama keluarganya di United Kingdom (UK).
Andai boleh didengari di semua digital platform (Joox, Spotify, iTunes, Apple Music, Deezer) di bawah saluran Rocketfuel dan Telco (Celcom, Digi, Umobile dan Maxis) dan saluran radio tidak lama lagi.