Pelakon jelita, Siti Saleha mendedahkan dia kini lebih berhati-hati setiap kali melakukan perkongsian di media sosial terutama sekali sewaktu melakukan sesi siaran langsung.
Tak nak terdedah kepada bahaya
Ketika ditemui , Siti Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum berpendapat bahawa sesi siaran langsung yang dibuat boleh cenderung terhadap bahaya pada diri sendiri.
Saya rasa bila buat siaran langsung, orang boleh tahu di mana lokasi kita berada.
Kita juga kena bijak berkongsi aktiviti di media sosial.
Justeru, saya jarang buat siaran langsung dan kongsi keadaan persekitaran rumah.
Saleha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana episod pertama drama bersiri ‘The Secret’ yang diadakan di GSC Mid Valley pada petang Selasa.
Ketika ditanya pendapat mengenai kes jenayah yang dilihat semakin meningkat di dalam negara, pelakon yang terkenal menerusi drama ‘7 Hari Mencintaiku’ ini menasihati setiap individu terutamanya kaum wanita untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Saya sedih apabila baca berita semasa berkaitan jenayah bunuh dan rogol yang dilaporkan kebelakangan ini.
Apa yang boleh saya sarankan kita perlu sentiasa beringat bila berada di luar rumah.
Elakkan kalau tahu tempat yang dituju tidak selamat.
Walaupun pun saya sendiri ada seni mempertahankan diri Muay Thai, bila keluar saya akan ditemani pengurus atau kawan-kawan.
Tambah pelakon berusia 34 tahun itu lagi, seseorang itu juga wajar membuat laporan polis dengan pantas sekiranya menjadi mangsa kepada jenayah.
Apa yang penting, sekiranya menjadi mangsa jenayah, laporkan, tidak kiralah anda perempuan atau lelaki.
Jangan mendiamkan diri kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental.
Terbaharu, Saleha bakal tampil menerusi satu drama bersiri ‘The Secret’ yang akan mula ditayangkan pada hari ini menerusi penstriman Viu.
Selain Saleha, drama bersiri ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Remy Ishak, Fatimah Abu Bakar, Nadiya Nisaa, Ucop dan ramai lagi.