Foto: Harian Metro
Untuk kekal relavan di dalam industri muzik tanah air bukanlah satu perkara mudah, namun dilihat masih diterima oleh segenap masyarakat malah mampu mengekalkan reputasi yang baik.
Telus dalam berkarya
Ketika ditemui , vokalis Spider iaitu Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafah menegaskan bahawa perhubungan yang baik antara anggota kumpulan adalah penting dan haruslah mempunyai sifat jujur.
Meskipun bukan mudah untuk kekal lama di dalam industri, namun penyanyi berusia 51 tahun itu berkata sikap saling membantu boleh memberi kesan baik terhadap seni yang dihasilkan.
Sebagai satu band, kita kena ada hubungan antara satu sama lain. Kalau hubungan kita kuat, yang selebihnya akan berjalan dengan lancar.
Ketelusan itu penting, kalau tak ada ketelusan dalam band maka ia akan jadi separuh jalan.
Kerjasama dalam kumpulan itu penting sebab ia beri impak kepada karya.
Tam berkata demikian semasa sidang media Konsert Mahardika yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, pelantun lagu Relaku Pujuk tersebut tidak menolak tentang kekangan dan cabaran yang perlu mereka hadapi namun percaya ianya boleh ditangani.
Cabaran sudah semestinya ada, macam kita tengok sekarang barisan kumpulan Spider pun dah lain. Ada yang bila dah berumur sedikit mula ada masalah kesihatan.
Perkara-perkara macam ni yang kita perlu tangani dengan tenang. Tak boleh melatah, dan kami cuba sebaik mungkin dalam berkarya demi peminat.
Dalam perkembangan lain, Tam memaklumkan bahawa mereka sedang merancang untuk mengeluarkan album selain single yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Lagi seminggu dua akan keluarkan single, single ini tercetus daripada Konsert Keluar Sarang baru-baru ini.
Kami akan mengeluarkan album kompilasi dengan dua lagu baharu berkemungkinan dalam tahun hadapan.
Untuk info, Spider bersama Kugiran Masdo dan Ella bakal menjayakan Konsert Mahardika pada 30 Ogos ini bertempat di Space Arena Penang, Pulau Pinang.