Pelakon Zulin Aziz meluahkan rasa teruja dan gembira apabila dinobatkan sebagai Superstar Paling Gempak di pentas akhir Muzikal Lawak Superstar musim ke-4, Ahad lalu.
Dapat galakkan daripada suami
Menurut Zulin, sepanjang sembilan minggu bertanding dalam program MLS4, dia tidak pernah menyangka akan meraih anugerah tersebut. Tambah Zulin, pembabitannya dalam program lawak itu juga menjadi tanda dia akan kembali aktif dalam bidang seni selepas agak lama menyepi.
Pada awalnya saya tolak untuk terlibat dalam MLS4, namun kata Shiera (Sharifah Shahirah) telah membuka mata saya. Dia ada bertanya kenapa saya ‘tidur’ telalu lama dan tak muncul semula sehinggakan industri ini perlu ambil orang luar sebagai pengacara.
Dia sebenarnya yang memberi semangat kepada saya. Jadi penyertaan dalam MLS4 ini adalah satu keputusan tepat. Ini juga menjadi satu titik tolak untuk saya kembali aktif semula dalam industri.
Berbicara lebih lanjut, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, turut mengakui bahawa dia berasa tidak yakin untuk membuat kemunculan semula.
Sebenarnya saya rasa tak boleh nak buat comeback sebab menganggap peminat sekarang sudah tidak boleh terima kehadiran saya.
Banyak yang perlu saya belajar supaya tidak ketinggalan. Untuk menyertai MLS4 pun, saya minta izin suami.
Dia juga memberi galakan penuh untuk saya kembali aktif.
Menurut Farhan pula, sebagai suami dia sentiasa memberi sokongan penuh buat Zulin untuk terus aktif dan memperjuangkan bakatnya dalam bidang seni.
Saya tidak menetapkan sebarang syarat untuk dia kembali aktif sebab sejak awal perkenalan Zulin sudah bergelar artis.
Cuma saya harap dia tahu menjaga batas dan bijak membahagi jadual kerja dengan peribadi.
Terdahulu, Zulin bersama kumpulannya iaitu Zuara terpaksa berpuas hati sekadar menduduki tempat kelima dengan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.