Suspek lelaki yang didakwa melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akhirnya berjaya ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada petang tadi.
Suspek yang cuba membunuh isterinya dengan melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Hafizul Harawi, 38, ditahan di Kota Bahru, Kelantan, hari ini selepas 36 jam diburu polis.
Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya
Menurut sumber, proses penangkapan suspek berjaya dilakukan di hadapan Hospital Pakar Perdana, hanya beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Perlawanan fizikal antara suspek dan pihak polis berlaku sebelum suspek berjaya ditahan, dengan polis juga merampas sepucuk pistol daripada suspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan tangkapan suspek tersebut dan menyatakan bahawa satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman atau Ketua Polis Negeri dalam masa terdekat untuk memberi keterangan lanjut mengenai kes ini.
Sebelum ini, kehadiran suspek di Kota Bharu telah diumumkan, namun tangkapan rasmi hanya berlaku pada hari ini di tengah-tengah tekanan penuh dari pihak berkuasa untuk menangkap individu yang bertanggungjawab atas insiden penembakan di KLIA Terminal 1.