Penyanyi Iwan Syahman memberitahu dia berasa lebih tenang selepas berjuang ke arah agama.
Bina madrasah
Menerusi laporan Harian Metro, Iwan berkata, dia bersyukur mendapat hidayah daripada Allah yang membawanya berjihad dalam agama selagi nyawa dikandung badan untuk ‘saham akhirat’ di sisi Yang Maha Esa.
Alhamdulillah, saya amat tenang dengan cara hidup sekarang yang berjuang untuk agama dengan berdakwah ke jalan Allah. Bagi saya, apa yang harus dikejar adalah akhirat kerana dunia ini sementara dan akan hancur.
Untuk itu saya perlu pastikan diri sentiasa istiqamah dengan jalan dakwah ini demi agama yang dijunjung. Allah juga sudah tutupkan keinginan kurang baik yang pernah hadir di hati saya sebelum ini.
Berbicara lebih lanjut, Iwan mengakui bahawa dia pernah terfikir untuk menguruskan penyanyi wanita dalam syarikat rakamannya, teruskan berdangdut dan menjadi bos yang dilimpahi banyak wang.
Bagaimanapun, selepas saya tersedar dan kembali mendekatkan diri kepada agama, Allah gantikan dengan ‘pengurusan syarikat’ yang lebih baik untuk persediaan saya ke akhirat iaitu madrasah atau sekolah agama.
Alhamdulillah sekarang di Indonesia sudah 10 tahun saya menjalankan Madrasah Taman Tahfiz Darul Islam di Kisaran, Sumatera Utara milik saya yang dibangunkan di kampung halaman saya sendiri.
85 penghuni
Tambah Iwan, ketika ini madrasahnya mempunyai 85 orang penghuni, berbanding sebelum pandemik Covid-19 yang pernah dihuni kira-kira 400 orang.
Disebabkan komitmen pada madrasah itu juga, saya biasanya balik ke Indonesia setiap sebulan atau dua bulan sekali bagi memantau dan memastikan pengurusan pendidikan agama di sana berjalan lancar.
Saya tidak pernah menyangka dan apatah lagi bermimpi akan mendapat bimbingan Allah sejauh ini dalam usaha saya mencari keredaan daripada-Nya untuk akhirat nanti. Kini, saya hanya mampu bersyukur.
Jelas Iwan, kebanyakan penghuni madrasah terdiri daripada anak yatim.