Cinta antara penyanyi Sufian Suhaimi dan bekas kekasihnya Rania Al Sadat didakwa sudah bertaut kembali.
Momen bersama
Menerusi hantaran di Instagram Pakanira.KL, kelihatan Sufian dan Rania sedang khusyuk menghasilkan cincin.
Mereka berdua dipercayai menghadirkan diri ke sebuah bengkel penghasilan cincin yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Lebih manis, pasangan itu sedondon mengenakan pakaian berwarna biru muda dan Rania turut memakai hijab.
Tinjauan mendapati penyanyi berusia 32 tahun itu juga memberi tanda ‘like’ pada hantaran berkenaan.
Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki didakwa mirip pelantun lagu Menggenggam Bahagia tersebut bersama seorang wanita di sebuah festival makanan. Ia sekaligus menimbulkan dakwaan bahawa mereka sudah kembali bersama.
Bagaimanapun, Sufian kemudian enggan memberi sebarang komen mengenai dakwaan tersebut.
Sebelum ini, Sufian telah mengesahkan bahawa hubungan cinta bersama kekasih hatinya itu sudah berakhir pada Mac lalu. Ia susulan dakwaan pasangan tersebut telah berpisah apabila mereka tidak lagi mengikuti antara satu sama lain di Instagram.
Pada Oktober tahun lalu, Sufian telah menghantar rombongan merisik kepada keluarga Rania.