Seorang suspek lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai mencampak pesara kewangan FELCRA, Sabari Baharom, dipercayai membelanjakan RM16,000 untuk berjudi di Batam, Indonesia, sebelum ditahan polis.
Ketagih main judi
Memetik laporan BH Online, suspek dan bersama anak saudaranya yang berusia 26 tahun ke Batam selepas bertindak membunuh Sabari dan mengeluarkan wang simpanannya berjumlah RM16,000.
Difahamkan, suspek seorang yang ketagih bermain judi dan sering keluar negara bagi melakukan kegiatan berkenaan.
Suspek dipercayai membunuh Sabari pada 4 September lalu, sebelum bertindak ke Batam, Indonesia untuk berjudi. Suspek dikatakan mengalami ketagihan judi dan turut bermain judi dalam talian.
Suspek dipercayai menghabiskan wang yang disamunnya dari mangsa di sebuah kasino sebelum pulang ke tanah air.
Jumaat lalu, suspek dan anak saudaranya ditahan polis di kawasan sempadan di selatan tanah air. Mereka tidak menyedari pihak polis berjaya mengenal pasti identiti mereka.
Gagal dikesan
Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan, operasi pencarian mayat Sabari dihentikan petang semalam, selepas polis gagal menemui sebarang petunjuk sejak tiga hari lalu.
Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.