Pelakon Sweet Qismina meluahkan rasa syukur kerana lakonannya menerusi filem Babah menerima pujian daripada para penonton.
‘Saya letakkan 101 usaha’
Ketika ditemui , Sweet atau nama lengkapnya Farhanna Qismina Supandi, 27, bersyukur kerana menerima komen positif daripada penonton yang berpendapat bahawa dia benar-benar menghayati lakonannya sebagai pesakit Sindrom Guillain-Barré.
Memang saya praktis sebanyak yang boleh termasuk di luar set. Saya letakkan 101 usaha untuk bawa watak sakit tu. Saya bersyukur sangat bila orang kata watak saya tu menjadi. Terima kasih banyak-banyak.
Tambah isteri kepada pelakon Adam Lee ini lagi, menjayakan babak menjadi pesakit Sindrom Guillain-Barré bukanlah satu perkara yang mudah malah dia terpaksa menurunkan berat badan hampir 10 kilogram demi menampakkan sosok tubuh yang kurus dan cengkung.
Untuk watak sakit tu saya memang dah rancang nak kuruskan badan, nak diet tapi saya tak terfikir pula producer cadangkan saya untuk dapatkan rundingan dengan pakar diet. Mereka suruh saya buat liquid diet.
Kebetulan pula masa tu baru kahwin jadi berat saya naik 53 kilogram, saya terpaksa turunkan sebanyak 10 kilogram dalam masa sebulan. Dalam tempoh seminggu tu, memang saya minum susu sahaja dan kalau lapar sangat saya hanya akan makan buah epal sahaja dan sebiji telur.
Saya berjaya turunkan 5 kilogram tapi penerbit minta saya kuruskan lagi supaya nampak cengkung. Selepas jadual penggambaran disusun kembali, saya berjaya turunkan 10 kilogram.
Sweet berkata demikian ketika ditemui di pada tayangan filem Babah bersama media di TGV One Utama, Petaling Jaya pada Isnin.
Filem Babah masuk pasaran Singapura, Sabah & Sarawak
Dalam pada itu, Sweet berkata salah satu faktor dia menerima tawaran untuk melakonkan watak Maya dalam filem Babah adalah untuk mencabar dirinya menjadi seorang pelakon yang versatil dan mampu membawa pelbagai jenis watak.
Secara jujurnya, saya terima tawaran ini sebab dua perkara iaitu watak yang mencabar termasuk watak sakit sebab saya kena kuruskan badan.
Bagi saya itu adalah satu lagi penambahan dalam karier saya sebagai pelakon. Kedua adalah disebabkan penggunaan bahasa isyarat. Tak semua filem atau drama ketengahkan perkara itu.
Dalam perkembangan lain, filem Babah sudah tiga minggu ditayangkan di pawagam dan hasil kutipan terkini sudah mencecah RM6 juta.
Filem arahan Mohd Shah Faizul ini bakal memasuki pasaran Singapura dan pawagam di Sabah serta Sarawak.
Babah telah ditayangkan bermula 5 Disember lalu dengan membariskan Qi Razali, Qistina Suzzane, Sweet Qismina, Adam Lee dan Kis Aisha.