Mahu meneroka genre baharu dan mencari kelainan, Syamel gembira apabila melancarkan single Hamba Cinta bermula 16 Ogos yang lalu.
Memberikan Sedikit Kelainan Dari Kebiasaan
Lagu berentak pop jazz itu dilihat sedikit lari daripada kebiasaan bagaikan memberi semangat baharu kepadanya.
Melihatkan sambutan hangat yang diberikan oleh peminat sejak dilancarkan Jumaat lalu, Syamel bersyukur kerana karya baharunya itu diterima baik dan menganggap itu petanda dia berada di landasan yang betul apabila memilih sisi berbeza untuk naskhah kali ini.
Syamel hanya mahu memberikan kelainan dan membuktikan bahawasanya muzik adalah sesuatu yang luas dan sesiapa sahaja boleh meneroka potensi baharu untuk mencari kepuasan dalam berkarya.
Naskah Yang Diambil Dari Kisah Hati
Intipati naskhah ini diambil daripada kisah hati yang menimpa sebuah perhubungan.
Kasih sayang dan pengorbanan yang dibina akhirnya sia-sia dek pengkhianatan yang akhirnya membunuh sebuah kepercayaan seperti yang terjadi kepada kebanyakan pasangan.
Pada akhirnya, kasih sayang yang dibina bagai tiada harga dan mereka tidak lagi mahu menjadi hamba kepada sebuah perhubungan sebegitu.
Banyak Perubahan Dilakukan
Terdapat banyak perubahan yang dilakukan oleh Syamel bersama Yusuff Khan, Adam Armi dan Adly Kiddy yang bertindak selaku pencipta lagu ini.
Tidak keterlaluan jika dikatakan ini merupakan lagu paling banyak melalui perubahan susunan muzik sebelum masuk ke studio rakaman.
Meskipun ini merupakan kerjasama pertama antara mereka, ia dilakukan demi memastikan hasil akhir memberikan kepuasan buat semua yang terlibat di belakang tabir seterusnya diterjemah ke dalam sebuah muzik video (MV).
Menggunakan Pasukan Baharu
Kali ini, Syamel berani mengambil cabaran menggunakan pasukan baharu dalam penerbitan MV berkenaan. Beberapa kod rahsia dan mesej tersembunyi turut disuntik bagi memastikan apa yang ingin diterjemah sampai kepada pendengar.
Lagu ini sudah pun dilancarkan secara rasmi pada 16 Ogos yang lalu disemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer dan juga YouTube Music.
Video muzik lagu ini juga boleh ditonton melalui YouTube Warner Music Malaysia mulai 21 Ogos 2024 ini.