Semua sedia maklum pada 8 Mac lalu, Dolla membuat kejutan apabila mengumumkan pengunduran Syasya Rizal menerusi hantaran di akaun rasmi mereka hingga ramai peminat kecewa.
Kongsi Gambar Bersama Suami
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, perancangan mendirikan rumah tangga menjadi antara faktor pengunduran Syasya daripada Dolla.
Terbaru, bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya ada berkongsi foto bersama suaminya di Instagram (IG) selepas berita perkahwinan tular di pelbagai platform media sosial sejak awal minggu ini.
Melalui hantaran berkenaan, Syasya atau nama sebenar, Norsyasya Afiqah Shahrizal berkongsi tiga foto bersama suaminya dengan mengenakan busana pengantin serba putih dipercayai diambil pada hari pernikahan mereka.
Bagaimanapun, Syasya hanya berkongsi emoji hati tanpa memuat naik sebarang maklumat mengenai pernikahan mahupun nama suaminya.
Komen Ahli Kumpulan Dolla Jadi Perhatian
Melihat diruangan komen, gambar yang dimuat naik tersebut dihujani ucapan tahniah daripada peminat dan rakan-rakan artis.
Antara yang menjadi perhatian adalah daripada rakan Syasya yang juga anggota Dolla iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel.
Komen tersebut telah berjaya meraih lebih sepuluh ribu tanda suka untuk setiap seorang dari ahli kumpulan tersebut.
Selain teruja melihat komen dari ahli kumpulan Dolla, netizen kelihatan meluahkan perasaan mereka terhadap komen itu dengan menyatakan kerisauan mereka sekiranya ada ahli kumpulan Dolla yang akan meninggalkan kumpulan itu pada masa akan datang.