Tidak pernah mengeluarkan karya khas sempena hari kebesaran seperti Aidilfitri bukan bermakna kugiran gergasi dan legenda tanah air, Search enggan ikut serta meramaikan pasaran dengan lagu sedemikian.
Ironi, usia lebih tiga dekad Search meski tanpa kelahiran lagu Raya juga sudah cukup bermakna buat peminat.
Tahun Bersejarah Buat Search
Namun, 2024 menjadi tahun bersejarah buat Search dan peminat apabila kugiran yang dianggotai Datuk Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary ini terbit dengan karya perdana sempena meraikan hari kemenangan umat Islam.
Sujud Aidilfitri menjadi karya Aidilfitri ulung yang akhirnya diterbitkan Search sempena merayakan bulan penuh berbahagia ini.
Tidak meninggalkan kentalnya genre rock dan balada serta ciri khas vokal Amy yang sudah sebati dengan Search menerusi lagu-lagu yang telah dihasilkan sejak lebih 30 tahun lalu, Sujud Aidilfitri juga dibalut dengan nuansa serupa.
Tidak ada yang extravaganza mengenai Sujud Aidilfitri namun mesej yang ingin disampaikan Search kepada seluruh pendengar sampai menerusi bait lirik yang dihasilkan.
Menghidupkan Kembali Budaya Memiliki Lagu Raya
Menurut Search lagi, keputusan merakamkan Sujud Aidilfitri adalah sebagai sebuah usaha menghidupkan budaya memiliki lagu raya yang semakin jarang dirakamkan kerana pendengar lebih memilih mendengar lagu raya lama yang bersifat malar segar.
Sujud Aildilfitri diilhamkan sepenuhnya oleh Jun dan Search dengan Rie Tsuji menghulurkan kepakaran sebagai arranger, Rozhan (mixing & mastering).
Dipasarkan oleh Universal Music, Sujud Aidilfitri yang kini sudah mula boleh didengari di corong radio turut memiliki klip video yang dijalankan di Terengganu.
Jangan terlepas untuk mendengarkan Sujud Aidilfitri di semua corong radio atau platform digital dan klip video juga boleh ditonton di laman YouTube Universal Music.