Band Uncure yang dianggotai oleh Taiyuddin Bakar (vokalis), Anaz (gitar), Macik (drum) dan Hakim (bass) bakal mengadakan persembahan Showcase Uncure: Palestin Hak Yang Dinafikan pada 14 September 2024 di Warisan Hall Studio, Teluk Panglima Garang, Selangor.
Bantu rakyat Palestin
Menurut Taiyuddin, showcase tersebut bertujuan untuk menggabungkan seni yang berbeza latar belakang di dalam satu acara namun mempunyai tujuan yang sama iaitu muzik dan solidariti bersama Palestin.
Ini membuktikan band underground juga ada suara dalam memperjuangkan isu Palestin.
Bukan sekadar menyatakan solidariti, Uncure juga berharap agar melalui showcase itu, ukhuwah di antara mereka yang bersama-sama dengan Palestin juga dapat terjalin.
Showcase dianjurkan oleh Onz Management dengan kerjasama Persatuan Inspirasi Muallaf itu juga berhasrat menyumbangkan keuntungan jualan tiket kepada Kedutaan Palestin di Malaysia.
Dalam masa yang sama, showcase ini turut diadakan sempena pelancaran EP berjudul Hak Yang Dinafikan, yang telah dilancarkan di semua platform digital pada 17 Julai lalu.
Taiyuddin sebagai penyanyi
Sementara itu, Taiyuddin mendedahkan bahawa sebelum bergelar pelakon dia terlebih dahulu pernah menyertai kumpulan muzik underground iaitu The Innocent.
Aktor berusia 41 tahun ini berkata ketika dia sedang memperlahankan karier lakonan, tawaran untuk menyertai band Uncure hadir pada waktu yang tepat.
Semuanya bermula ketika saya menghadiri persembahan terakhir mereka sebelum PKP. Dalam persembahan itu saya diundang naik ke pentas untuk menyanyikan sebuah lagu bersama band Uncure.
Selepas saya memuat naik video persembahan itu dalam akaun media sosial, ramai yang terkejut tetapi menerimanya dengan sangat positif. Penghujung tahun lalu saya ditawarkan untuk menjadi vokalis tetap mereka.
Menurut Taiyuddin, dia menerima tawaran menyertai band Uncure kerana percaya dengan kekuatan karya-karya Anaz yang cukup popular dalam scene underground selain mengambil peluang untuk menonjolkan sisi berbezanya kepada peminat.
Selepas sekian lama hanya bermain dalam scene underground kini kami cuba untuk keluar dari kepompong. Selain masih kekal bersama kelompok peminat kami, band Uncure cuba untuk melebarkan sayap ke industri muzik mainstream.
Kami semua bukan muda lagi, jadi saya mahu beri sehabis baik dan lihat berapa jauh band Uncure boleh pergi. Mungkin dengan cara ini kami akan menerima peminat yang baharu.
Kami juga bersedia dengan apa jua respon yang bakal kami terima. Namun yang lebih penting bagi kami adalah karya kami dapat dikongsi kepada khalayak serta berharap agar ada manfaat disebaliknya.
Untuk rekod, band Uncure telah ditubuhkan pada tahun 1996. Sepanjang 28 tahun ditubuhkan band ini telah beberapa kali menukar anggota termasuk vokalisnya.
Bahkan band Uncure pernah berehat seketika disebabkan penularan virus Covid-19 sebelum kembali aktif pada 2023 dan showcase ini merupakan kemunculan sulung pelakon Taiyuddin Bakar sebagai vokalis baharu band Uncure.
Jangan lepaskan peluang untuk ke showcase ini. Tiket-tiket dijual bermula dengan harga RM89 (early bird) dan RM100 selepas 25 Ogos 2024 boleh dibeli secara terus menerusi akaun media sosial rasmi band Uncure iaitu Uncure_kugiran (Facebook/Instagram/Youtube) dan Uncure (TikTok) atau hubungi talian, 013-3616440 (Rara).