Baru-baru ini, hangat diperkatakan tentang isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara.
Menggalas tanggungjawab sebagai duta, pelawak dan usahawan, tampil memberi respon mengenai perkara tersebut.
Artikel berkaitan: Watie Hanifiah Teruskan Amalan Arwah Siti Sarah, Pakaikan Shuib Stokin Sebelum Pergi Kerja
Artikel berkaitan: [VIDEO] Shuib Sebak Akhirnya Hasrat Tercapai, Bertemu Arwah Siti Sarah Dalam Mimpi – ‘Dia Cuma Senyum Tengok Saya’
Terkesan sebagai umat Islam
Menurut Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhammad, 40, sebagai seorang Muslim dia akui terkesan dengan kejadian yang seakan mempermainkan agama Islam.
Sebagai seorang umat Islam saya terkesan sebenarnya. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku tidak kira dalam apa sahaja perniagaan mahupun situasi.
Kita pasti akan marah sebab kalimah Allah ini benda yang terlalu besar.
Kalau benar saya tidak akan menyokong dan tidak akan mengiyakan langsung kerana ia menjadi tanggungjawab saya sebagai umat Islam.
Kes masih dalam siasatan
Bagaimanapun, dia tidak dapat mengulas lebih lanjut tentang perkara itu kerana ia masih dalam siasatan dan hanya akan membuat keputusan selepas kes tersebut selesai.
Saya rasa marah sebab tak sepatutnya berlaku. Keji sangat apa yang berlaku, itu sahaja saya boleh cakap.
Perkara ni pun belum selesai dan siasatan masih sedang dilakukan, jadi saya tak boleh nak komen lanjut.
Hal ini melibatkan perniagaan, sensitiviti orang ramai tapi saya teguh dengan pendirian benda yang tak betul dan salah serta melanggar peraturan saya tak akan sokong.
Sanggup tarik diri jika benar
Sementara itu, Shuib tidak ragu-ragu untuk menarik diri sebagai duta sekiranya keputusan terbukti bersalah.
Nampaknya begitulah jalan ceritanya. Saya sentiasa percaya rezeki. Kalau memang tak ada rezeki saya, tak ada rezeki saya, kalau ada rezeki saya, ada rezeki saya.
Tapi apa-apa pun saya tetap kena meletakkan prinsip bahawa saya adalah seorang Islam.
Shuib berkata demikian semasa ditemui di majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media yang diadakan di St.Giles Boulevard, Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, tular di media sosial tentang kewujudan stoking yang tertera kalimah Allah dijual secara terbuka di kedai serbaneka KK Mart.
Selepas dikecam teruk, pihak KK Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya.
Kini, siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung penghasilan produk yang dianggap biadab dan sengaja mencetuskan provokasi terhadap institusi agama.