Pelakon Nora Danish tampil menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya tinggal bersama bekas suami, Nedim atau nama sebenarnya Mohamed Nedim Mohamed Nazri.
‘Saya tidak tinggal serumah dengan Nedim’
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, menegaskan perkara itu sama sekali tidak akan berlaku memandangkan dia dan Nedim sudah pun bercerai.
Saya tidak tinggal serumah dengan Nedim dan tidak akan tinggal serumah kerana kami sudah bercerai.
Dan tidak mengapa jika kelihatan dia bersama wanita lain kerana perceraian ini adalah permintaan saya.
Dalam pada itu, Nora meminta orang ramai agar tidak melaporkan mengenai kehidupan peribadi Nedim kepadanya selain menjelaskan hubungan rapatnya dengan bekas suami adalah kerana urusan anak-anak.
Jadi biarlah dia dan kehidupannya. Jangan sampaikan pada saya lah ok.
Masing-masing dah melalui jalan berbeza. Kami hanya rapat atas urusan anak-anak. Tidak lebih.
Untuk rekod, Nora mendirikan rumah tangga dengan Nedim pada 30 Mac 2017 dan bercerai pada 16 Jun lalu. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl, 6 tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Putra Rayqal, 15 tahun.
Namun perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian pada 2008.