Siapa sangka, perubahan kecil dalam hidup pelakon cantik Nora Danish ini telah menarik perhatian ramai. Sejak mengenakan tudung, Nora sering menerima pujian daripada peminat yang kagum melihat penampilannya yang semakin manis dan anggun.
Namun, di sebalik semua pujian itu, Nora sendiri tidak mahu dianggap terlalu alim atau suci. Kenapa? Sebabnya mudah,dia tak mahu orang menghakimi setiap tindakannya.
Dalam satu perkongsian di media sosial, Nora berkongsi perasaan jujurnya tentang proses penghijrahannya. Katanya, dia tidak mahu orang melihatnya sebagai contoh yang sempurna.
“Saya tak nak sangat orang nampak saya ini suci, alim. Itu yang paling saya takut sebab nanti apabila saya melakukan satu kesalahan orang akan menilai kita munafik dan sebagainya,” ujarnya dengan nada yang penuh berhati-hati.
Sebenarnya, Nora sendiri tahu bahawa dia masih dalam fasa belajar. Ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui bahawa dia bukanlah seorang yang sempurna, tetapi berusaha untuk menjadi lebih baik.
“Saya pun memang dalam proses untuk menjadi yang lebih baik. Tidaklah sempurna tetapi lebih baik, itu sahaja yang saya nak sangat,” kata Nora dengan penuh rendah hati.
Sebelum mengambil keputusan berhijab, Nora sebenarnya sudah lama bergelumang dengan ilmu agama. Dia bukan sahaja kerap menghadiri majlis ilmu bersama rakan selebriti, tetapi juga sering dipuji oleh netizen kerana penampilannya yang semakin berseri.
Keputusan Nora untuk kekal bertudung selepas bercerai dengan bekas suaminya, Nedim Nazri, pada Jun tahun lalu, membuatkan ramai semakin mengagumi kekuatan dan ketabahannya.
Malah, sejak itu, Nora menjadi lebih aktif mengikuti kuliah dan ceramah agama. Di sebalik semua pujian dan sorotan media, Nora tahu bahawa perubahan ini adalah satu perjalanan panjang, dan dia hanya mahu menjadi seorang muslimah yang lebih baik, bukan yang sempurna.
Dengan cara itu, dia tidak perlu risau tentang dituduh munafik setiap kali membuat kesilapan. Kadang-kadang, kita memang terlalu cepat memberi label pada orang lain, tetapi Nora memberikan satu pengajaran penting, bahawa perubahan adalah sesuatu yang peribadi dan ia berlaku dalam proses.