Selepas mendirikan rumah tangga dan menimang dua cahaya mata, perjalanan kerjaya pelakon jelita, Izara Aishah, agak perlahan.
Walaupun mengakui agak memilih soal naskhah, Izara kini memberi fokus kepada tanggungjawab sebagai isteri, ibu, dan ahli perniagaan.
Izara, atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham, berhadapan dengan cabaran menjaga anak-anak yang masih kecil, berlakon, dan menguruskan perniagaan serentak.
Meskipun tidak mendapat rehat mencukupi, Izara tetap bersyukur kerana dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga, terutama anak keduanya yang belum sampai usia setahun.
“Tugasan ibu bukannya mudah, apatah lagi, saya memiliki perniagaan sendiri. Saya juga perlu utamakan suami dan anak-anak, jadi ia juga menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Tipulah kalau kata tak penat atau cukup tidur. Anak-anak pula masih kecil. Namun, apapun saya kena sesuaikan diri dengan keadaan,” kata Izara.
Izara percaya bahawa kesabaran dalam menghadapi cabaran ini akan membawa ganjaran.
“Saya tiada rungutan, malah seronok. Saya juga tidak menolak rezeki dan merancang hamil dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Nunha Store di Mytown, Cheras, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kerjaya seninya, Izara berkata dia lebih selektif selepas melahirkan anak kedua dan memilih untuk membintangi filem berbanding drama. Izara tidak berminat untuk membawa watak dalam filem percintaan, sebaliknya terbuka untuk membintangi filem bergenre kekeluargaan, realistik, atau kisah benar.
“Saya tunggu tawaran filem kalau ada yang bersesuaian. Kalau boleh saya nak kurang berlakon drama dan beri ruang kepada pendatang baharu. Kebanyakan tawaran diterima kisah cinta. Jujurnya, saya tidak berminat dengan kisah cinta,” jelas Izara.
Izara turut menyatakan kebimbangannya mengenai masa penggambaran drama yang terlalu panjang, yang mungkin tidak dapat diimbangi dengan keperluan keluarga dan perniagaan.
“Saya pula jenis cerewet. Sebelum bertudung ada pelbagai syarat, apatah lagi, bila berhijab, lebih banyak syarat. Saya tak nak menyusahkan pihak produksi. Jadi, lebih baik saya tampil dalam filem bersesuaian dan bekerja dengan produksi yang boleh terima permintaan saya,” tambahnya.
Izara mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Adib Khalid pada 17 November 2017. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Irisa Alaia, 4, dan Amara Amina, 1.
Sejak mula berhijab pada tahun 2021, Izara memilih untuk mendiamkan diri mengenai penghijrahannya, namun tetap teruskan kerjaya seninya dengan penuh dedikasi.