Baru-baru ini, kami diberi peluang untuk merasai pengalaman unik di Changsha, China. Dan wow, ada banyak perkara yang kami temui di sini yang pasti buatkan anda terkejut! Jika anda terfikir untuk bercuti atau mengembara ke China, ada beberapa hal yang hanya boleh anda alami sendiri di sini.
Ini dia 5 perkara menarik yang kami temui di Changsha, yang pasti membuatkan anda lebih bersedia untuk perjalanan ke negara ini!
Penggunaan Alipay dan WeChat Sangat Meluas – Wang Tunai Hampir Tiada!
Masih lagi ke orang pakai Wechat? Itulah soalan yang selalu orang kita akan tanya kan? Jangan terkejut, jika benda pertama yang kami perasan sebaik sahaja tiba di Changsha adalah penggunaan Alipay dan WeChat Pay yang begitu meluas di seluruh bandar. Kalau anda nak tahu, kebanyakan transaksi di sini berlaku melalui kedua-dua aplikasi ini. Dari membeli makanan, bayar bil, beli tiket pengangkutan, semuanya boleh dibuat hanya dengan telefon pintar!
Bahkan, untuk order makanan di restoran pun anda perlu guna WeChat. Ya, wang tunai hampir tidak digunakan langsung! Jadi, jika anda ke China, pastikan telefon anda siap dengan aplikasi pembayaran digital ini. Kalau tak, boleh jadi susah nak membeli barang-barang kecil!
Bahasa Mandarin Jadi Utama – Komunikasi Agak Sukar
Satu lagi pengalaman yang agak mencabar adalah komunikasi. Bahasa Mandarin adalah bahasa utama di sini, dan jika anda tak mahir berbahasa Mandarin, memang agak sukar untuk berkomunikasi. Walaupun penduduk tempatan sangat mesra dan cuba membantu, kadangkala bahasa menjadi penghalang utama.
Kami mencuba aplikasi seperti Google Translate dan aplikasi interpreter pada telefon SAMSUNG untuk membantu dalam situasi komunikasi. Walaupun begitu, anda mungkin perlu sedikit lebih sabar dan kreatif dalam berkomunikasi. Jangan risau, orang di sini memang sangat membantu dan akan cuba sedaya upaya untuk memahami permintaan anda.
Google Disekat – Kenapa Ya?
Jika anda biasa menggunakan Google di luar negara, anda mungkin agak terkejut kerana di China, Google tidak boleh digunakan! Ya, Google Maps, Google Search, dan beberapa perkhidmatan Google lain akan disekat jika anda menggunakan kad SIM China atau Wi-Fi tempatan.
Tetapi, jangan risau! Ada cara untuk mengatasi sekatan ini. Anda boleh menggunakan VPN (Virtual Private Network) untuk mengakses aplikasi-aplikasi yang disekat. Kami cadangkan untuk menyediakan VPN sebelum tiba di China supaya anda boleh terus berselancar di dunia maya tanpa sekatan. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang VPN, boleh buat carian sendiri ya!
Makanan Halal Banyak, Tak Perlu Risau!
Buat traveller Muslim, satu berita baik dari kami—makanan halal di Changsha tak susah dicari! Terdapat banyak restoran halal yang menyajikan makanan Cina yang lazat dan autentik, termasuk masakan khas Muslim seperti Lamb Kebabs dan Roti Prata yang sangat popular. Jadi, anda tak perlu risau tentang makan di sini.
Selain itu, beberapa restoran halal juga menyediakan menu dalam bahasa Inggeris, yang memudahkan lagi pencarian makanan yang sesuai. So, tak payah risau kalau teringin nak makan nasi goreng atau mi halal selepas sehari berkeliling!
Hotel 3-4 Bintang Berkongsi Bangunan – Banyak Kaunter Reception
Satu lagi perkara unik yang kami temui di Changsha adalah cara pengurusan hotel. Hotel-hotel di sini, terutamanya yang bertaraf 3 hingga 4 bintang, sering kali berada dalam satu bangunan yang sama. Bayangkan, anda boleh menemui lebih dari 3 hotel dalam satu bangunan dengan lebih dari satu kaunter resepsi!
Mungkin agak mengelirukan pada mulanya, tapi sebenarnya sangat praktikal kerana setiap hotel menawarkan keperluan yang berbeza. Jadi, jangan terkejut kalau anda melihat beberapa kaunter sambut tetamu yang berlainan, semua dalam satu tempat. Walaupun begitu, layanan mereka sangat mesra dan cekap, jadi tak perlu risau tentang kemudahan!
Jadi, kalau anda tak pernah jejakkan kaki ke China, pasti banyak perkara yang anda tak tahu! Dari sistem pembayaran yang canggih, penggunaan bahasa Mandarin yang utama, hingga pengalaman unik seperti hotel berkongsi bangunan dan makanan halal yang mudah dicari — semuanya memberikan pengalaman yang sangat berbeza dengan tempat lain. Walaupun ada cabaran dari segi komunikasi dan akses internet, orang-orang di sini sangat membantu dan peramah, membuatkan perjalanan kami sangat berbaloi.
Penerbangan ke Changsha dengan AirAsiaX
Untuk ke destinasi menarik ini, anda boleh terbang terus ke Changsha dengan penerbangan AirAsiaX. Pada masa penulisan artikel ini, penerbangan langsung ke Changsha hanya tersedia sekali sehari pada jam 5.35 petang, dan tiba di Lapangan Terbang Changsha Huanghua (Terminal 2) pada jam 10.30 malam.
Penerbangan tersedia pada hari Isnin, Rabu, Jumaat, dan Sabtu.
Jadi, jika anda merancang untuk bercuti ke Changsha atau mana-mana bandar di China, pastikan anda bersedia dengan aplikasi yang tepat, tahu sedikit sebanyak tentang budaya tempatan, dan bersedia untuk mengalami segala keunikan yang ditawarkan.