Negara seberang tengah hangat berbicara tentang bintang hebat Bunga Citra Lestari yang dilaporkan akan mengakhiri zaman jandanya.
BCL didakwa memilih seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Tiko Pradipta Aryawardhana untuk mendirikan masjid pada 2 Disember akan datang. Majlis perkahwinan mereka akan berlangsung di sebuah hotel di Bali.
Berita Disahkan Jabatan Agama
KapanLagi melaporkan, perkara itu disahkan oleh kakitangan Kantor Urusan Agama (KUA) Pasar Minggu, Jakarta Selatan yang dikenali sebagai Emma Fatmayani. Beliau berkongsi bahawa jangkaan lokasi pernikahan BCL adalah di KUA Mengwi, Bali.
“Kedua-dua pihak sudah menghantar borang dan salinan dokumen yang diperlukan termasuk sijil kematian suami BCL iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair.
“Pihak Tiko juga sudah menyerahkan salinan dokumen pengesahan perceraiannya sebelum ini,” ujarnya.
“Berdasarkan dokumen yang dihantar, Tiko adalah seorang duda yang bercerai hidup sebelum ini,” katanya lagi.
BCL & Tiko Sudah Mengenali Kaum Keluarga
Gosip tentang percintaan BCL dan Tiko yang merupakan seorang duda tercetus selepas aktres itu memuat naik video sambutan ulang tahun ke-40 pada Mac lalu. Kelibat dan aksi mesra dalam video tersebut membuat ramai membuat spekulasi bahawa wujud hubungan istimewa antara mereka.
Tiko juga dilihat kerap hadir ke majlis keluarga BCL termasuk sambutan hari raya tahun ini. Malah, pasangan ini sudah mengenali kedua belah keluarga dan merestui perhubungan mereka.
Umum mengetahui BCL telah berkahwin dengan Ashraf Sinclair pada 8 November 2008. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Noah Sinclair. 12 tahun membina rumah tangga, dunia hiburan dikejutkan dengan kematian Ashraf Sinclair pada 18 Februari 2020, akibat serangan jantung.