Pelakon terkenal, Shukri Yahya, sekali lagi mencuri perhatian para pengikutnya di media sosial dengan perkongsian terbarunya mengenai karavan mewah yang baru dibelinya.
Video yang dimuat naik di TikTok dan Instagram itu menampilkan kemewahan karavan tersebut, lengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti ruang memasak, tempat tidur, dan tandas.
Dalam video tersebut, Shukri kelihatan sedang sibuk mengemas beberapa kelengkapan di dalam karavan sambil memasang peralatan elektrik seperti televisyen. Keunikan dan keselesaan karavan tersebut nyata mengundang pelbagai reaksi positif daripada peminat dan pengikutnya.
Ruangan komen di kedua-dua platform media sosial itu dibanjiri dengan sokongan dan pujian daripada peminat. Rata-rata mereka menyokong usaha Shukri memiliki karavan tersebut, malah ada yang menyuarakan hasrat untuk turut memiliki kenderaan serupa suatu hari nanti.
“Menarik kalau bawa pergi ‘shooting’ (penggambaran). Lepas ini bawa pergi stesen minyak Genting, baru gempak,” kata seorang peminat yang teruja dengan idea menggunakan karavan sebagai tempat rehat semasa penggambaran- tulis netizen.
“Untung, selepas ini tidak perlu tumpang rumah kawan lagi. Bagus kalau pelakon guna kenderaan seperti ini. Kadang-kadang penggambaran mengambil masa lama. Tidak perlu risau hendak balik rumah.” tulis netizen.
Karavan yang dimiliki oleh pelakon drama popular 7 Hari Mencintaimu itu tidak hanya menonjolkan kemewahan, tetapi juga menawarkan keselesaan dan kemudahan yang sangat diperlukan ketika menjalani kehidupan sebagai seorang pelakon yang sering terlibat dalam penggambaran di pelbagai lokasi.
Dengan ruang memasak yang lengkap, tempat tidur yang selesa, serta tandas yang memadai, karavan ini jelas memberikan kebebasan dan keselesaan yang diimpikan oleh ramai.
Shukri turut menunjukkan bagaimana dia mengemas dan menyediakan karavan tersebut, memberi inspirasi kepada ramai yang mungkin sedang mempertimbangkan gaya hidup serupa.
Di Malaysia, harga sebuah karavan boleh mencecah dari serendah RM60,000 sehingga RM200,000 seunit, bergantung kepada model dan kemudahan yang ditawarkan. Populariti karavan semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia, terutama bagi mereka yang gemar mengembara dan mahukan kebebasan dalam perjalanan mereka.