GSC Cinemas bakal menutup cawangan pawagam Alamanda Putrajaya. Selepas 15 tahun beroperasi, cawangan itu akan berhenti beroperasi pada 14 Ogos. Tayangan terakhirnya akan diadakan pada 13 Ogos.
“15 tahun sejak kami membuka pintu kami pada 5 April 2008, kami berbesar hati untuk berkongsi banyak detik yang tidak dapat dilupakan dengan anda.”
“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus atas sokongan anda yang tidak berbelah bahagi selama ini. Senyuman, esakan, tawa dan tepukan anda akan sentiasa bergema di hati kami,” kata GSC dalam kenyataan rasmi mereka.
Namun begitu, GSC mempelawa pelanggan untuk terus tetap menyokong pawagam mereka di cawangan terdekat di GSC IOI City Mall 1 & 2.
Sejak berita itu tersebar dalam talian, ramai netizen melahirkan rasa sedih atas penutupan tersebut. Melihat bagaimana pawagam menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka selama 15 tahun, ada yang sedih untuk mengucapkan selamat tinggal di tempat itu.
Projek pengubahsuaian Alamanda Putrajaya
Dalam perkembangan lain, terdahulu Kumpulan Pengurusan Suria KLCC Sdn Bhd telah mewartakan pelan pembangunan Pusat Beli-Belah Alamanda yang kini mengukuhkan lagi komitmen untuk memberi pengalaman yang terbaik buat para pelanggan di Putrajaya. Ini merupakan pembaharuan terbesar untuk Pusat Beli-Belah Alamanda sejak pembukaannya pada tahun 2004.
Projek pengubahsuaian ini akan membawakan kepelbagaian rangkaian butik dan rakan niaga bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan. Dengan penambahan keluasan “Net Lettable Area (NLA)” sebanyak 50,000 kaki per segi, pembaharuan Alamanda ini bakal menjanjikan pengalaman membeli belah yang lebih sempurna.
Credit: Filem – Murai MY