Penganjur Good Vibes Festival (GVF) 2023, Future Sound Asia menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap band kontroversi dari United Kingdom (UK), The 1975 berikutan aksi biadap penyanyinya, Matty Healy di pentas hingga acara berkenaan diarah dihentikan serta merta oleh kerajaan, baru-baru ini.
Pengarah Hiburan Future Sound Asia, Wan Alman Ariffin berkata, syarikat merujuk kepada penasihat undang-undang bagi mendakwa The 1975 atas perlakuan mereka hingga festival berkenaan terpaksa dihentikan.
“Iya, kami ada penasihat undang-undang dan sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap The 1975,” katanya pada sidang media menjelaskan isu pembatalan GVF 2023 bersama Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (ALIFE), di sini.
Hadir sama, pengasas dan Pengarah Future Sound Asia, Ben Law dan Pengerusi ALIFE, Para Rajagopal.
Pada 22 Julai lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilapor mengarahkan pembatalan serta-merta penganjuran GVF 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang.
Fahmi dilaporkan berkata, beliau sudah memanggil penganjur GVF 2023, iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab dipamerkan anggota kumpulan British, The 1975 di pentas acara berkenaan.
Dalam insiden itu, Healy dilapor mempertikai undang-undang lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) di Malaysia.
Healy kemudian dilihat mencium anggota kumpulannya yang juga pemain bass, Ross McDonalds di atas pentas.
Sambil memegang botol arak, Healy turut meludah dan melakukan aksi kurang sopan di pentas festival berkenaan.
Credit: Selebriti – Murai MY