Syarikat pembangun aplikasi gaya hidup muslim, TheNoor menegaskan bahawa aplikasi tersebut tidak ada sebarang kaitan dengan penularan promosi produk berunsur lucah yang dikeluarkan oleh jenama syarikat usahawan terkenal Neelofa.
Kenyataan TheNoor
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook (FB), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas bersama iaitu Mohd Izzairi Yamin berkata, TheNoor sama sekali tidak bersetuju dan mengecam penggunaan gambar berunsur lucah untuk tujuan promosi bagi produk tersebut.
Selaku CEO dan Co-Founder TheNoor saya tidak bersetuju sama sekali penggunaan image atau postings berunsur lucah (haram) untuk tujuan marketing, promotion dan sewaktu dengannya.
Ramai juga yang mengecam kononnya TheNoor tidak melakukan pemeriksaan terhadap gambar-gambar tular yang tidak beretika. Kami ingin tegaskan bahawa TheNoor tidak ada kaitan dengan produk atau syarikat tersebut.
TheNoor tidak terlibat sama sekali dalam penghasilan atau pengedaran gambar tersebut. Kandungan yang dimaksudkan itu hanya berkaitan dengan produk lain dan tidak mewakili strategi pemasaran atau piawaian etika TheNoor. Di TheNoor, kami dengan tegas mengecam penggunaan gambar yang tidak sesuai atau menyinggung norma masyarakat untuk tujuan pemasaran.
Dalam pada itu, Izzairi berkata pihaknya komited bagi memastikan isu seperti itu tidak akan berulang lagi pada masa akan datang dengan berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut diperingkat dalaman.
Komitmen kami untuk mengekalkan jenama yang profesional dan menghormati masyarakat tidak akan pernah berubah. Kami amat kesal atas sebarang kesulitan atau salah faham yang mungkin telah menggusarkan pelanggan, rakan kongsi, dan pihak berkepentingan kami.
Kami mengambil serius perkara ini dan sedang menyelesaikan hal ini di peringkat dalaman untuk memastikan insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.
TheNoor tetap komited untuk mengekalkan piawaian integriti dan profesionalisme yang tertinggi dalam semua aspek perniagaan kami.
Kami menghargai semua yang memahami dan yang berterusan menyokong kami ketika kami menangani situasi ini.
Terdahulu, akaun Instagram rasmi Nilofa Group, memaparkan beberapa foto objek yang seakan-akan menyerupai alat sulit wanita telah dimuat naik bertujuan untuk mempromosikan produk untuk mengeratkan hubungan suami isteri.
Namun, perkongsian tersebut mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warga maya malah mereka menyifatkan foto-foto yang dikongsikan itu seakan tidak menjaga sensitiviti masyarakat selain mempunyai unsur ‘soft porn’.
Bukan itu sahaja, tindakan tersebut dikatakan kurang sesuai dengan penampilan Neelofa yang berhijab dan berpurdah.
Tidak lama selepas isu tersebut mendapat perhatian ramai, pihak Nilofa tampil membuat permohonan maaf.