Buat sambutan ulang tahun ke-15 Hitman Group, anak syarikatnya, Hitman Solutions telah mengadakan satu showcase yang hebat dengan menyatukan tiga gergasi indie negara seperti Butterfingers, Hujan dan Bunkface dalam acara ‘UND3RGROUND’. Showcase ini baru sahaja berlangsung malam semalam di Surf Beach, Sunway Lagoon dengan kehadiran 6,000 penonton yang meriah.
En. Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, mengatakan bahawa showcase UND3GROUND dipilih untuk memperingati ulang tahun ke-15 penubuhan Hitman Group.
“Kami memilih showcase UND3RGROUND untuk menyambut ulang tahun ke-15 penubuhan Hitman Group sebagai penghargaan kepada perjalanan perniagaan kami yang diusahakan dengan tekun selama beberapa dekad ini, sejajar dengan pengalaman band-band yang terlibat dalam showcase ini.
“Ini adalah kombinasi yang bersesuaian dengan kejayaan pengkarya indie tempatan, bermula dari bawah dan menjadi dihormati, serta memberi peluang kepada usahawan bebas.
Showcase bermula pada jam 8:00 malam dan berlangsung selama 3 jam dengan penampilan hebat ketiga-tiga band indie ini bersatu di pentas semasa pembukaan Showcase UND3RGROUND. Setiap band kemudiannya membawakan persembahan selama 45 minit masing-masing.
Butterfingers dengan ahli Loque, Emmett, Loko dan Kadax membawakan lagu-lagu nostalgia seperti Taman Tasik Perdana, Tentang Tentang, Garden City Of Lights dan lain-lain yang mengimbau kenangan lama.
Kumpulan Hujan pula dengan Noh Salleh, AG Coco, Azham dan Izzat menampilkan lagu-lagu popular seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati dan Mencari Konklusi untuk menghibur peminat setia mereka.
Manakala Bunkface yang muncul pada tahun 2005 membawakan hit-hit seperti Darah Muda, Ekstravaganza, Revolusi dan beberapa lagu baru untuk penggemar mereka.