Gara-gara tidak dipinjamkan wang, seorang lelaki di Indonesia tergamak membunuh keluarga kakak kandungnya sehingga meragut tiga nyawa.
Dibunuh keluarga kandung
Menerusi laporan Detik.com, suspek yang dikenali sebagai Yusak Cahyo Utomo berusia 35 tahun itu bertindak sedemikian kerana berang tidak dipinjamkan wang oleh kakaknya, Kristina untuk membayar hutang.
Susulan daripada itu, Yusak memulakan rancangan jahatnya dengan menunggu di luar kawasan dapur. Sebaik sahaja melihat kelibat kakaknya, suspek sekali lagi meluahkan hasrtanya untuk meminjam wang namun ditolak. Tidak lama selepas itu, suspek bertindak mengambil tukul yang dibawa bersamanya lalu memukul leher mangsa. Jeritan mangsa ketika serangan itu mengejutkan suami, Agus Komarudin.
Agus kemudian mencari isterinya di dapur dan siapa sangka, suspek yang turut berada di situ sekali lagi bertindak agresif dengan memukul kepala lelaki itu sebanyak tiga kali dan satu kali di bahagian rahang. Akibat pukulan tersebut, mangsa tidak sedarkan diri dan tersungkur di tanah.
Suspek kemudian mengheret kakaknya itu dan diletakkan bersebelahan suaminya di dapur. Kedua-dua anak mangsa yang menyedari kejadian itu telah melarikan diri ke ruang tamu sebelum mereka dipukul oleh suspek dibahagian kepala. Namun anak sulung pasangan itu yang berusia 9 tahun dilaporkan meninggal dunia manakala anak bongsu berusia 8 tahun mengalami kecederaan.
Yusak kemudian menutupi keduanya dengan baju, meskipun menyedari anak saudara bongsunya masih hidup tetapi dia tidak meneruskan niat jahatnya untuk menamatkan riwayat anak kecil itu. Suspek seterusnya mengambil barangan berharga milik kakaknya termasuk kereta sebelum melarikan diri.
Difahamkan, suspek telah ditahan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan.