Foto: Mothership
Gara-gara tidak menghantar sticker di kumpulan WhatsApp keluarga membawa penemuan mayat seorang lelaki di rumahnya yang terletak di Singapura.
Dua hari tak hantar sticker bongkar kematian bapa
Sekadar gambar hiasan
Memetik laporan Mothership, sudah menjadi kebiasaan seorang lelaki berusia 62 tahun itu menghantar sticker ‘good morning’ di kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada dua anaknya.
Difahamkan, tindakannya itu secara tidak langsung untuk memberitahu anak-anaknya yang tinggal berasingan bahawa dia berada dalam keadaan baik.
Kali terakhir lelaki itu aktif di WhatsApp adalah pada 21 November lalu dan selepas daripada itu, dia menghilangkan diri malah anak-anaknya juga tidak mendengar khabar berita daripada bapa mereka itu.
Hampir tiga hari tidak menerima sebarang ucapan daripada si bapa, salah seorang anak lelaki mendiang mula bimbang dan membuat keputusan untuk memeriksa keadaan bapanya. Namun belum sempat tiba di rumah, mereka mendapat khabar tentang kematian si bapa.
Meninggal dunia ketika tidur
Sekadar gambar hiasan
Menurut sumber, mendiang pada mulanya telah menjemput seorang rakan ke flatnya pada 24 November untuk berbual sambil makan namun setibanya rakan di rumah, dia mendapati mendiang sudah tidak bernyawa dan dipercayai menghembuskan nafas terakhir ketika tidur.
Difahamkan juga, mendiang sengaja tidak mengunci pintunya untuk memudahkan orang lain memeriksa keadaannya di rumah.
Menurut jurucakap polis, kedua-dua anak lelaki mendiang melawatnya di rumah pada hujung minggu dan mereka juga akan mengupah pembersih untuk membantu menjaga kebersihan unit tersebut.