Tiket menyaksikan siaran langsung Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Wisma MBSA, Shah Alam yang bakal berlangsung pada Jumaat ini telah habis ‘disapu’ peminat.
Sambutan hangat
Dua kategori tiket iaitu Terpaling Fan yang dijual pada harga RM175 yang turut menawarkan peminat merasai detik glamor di karpet merah ABPBH 36 dan pilihan tempat duduk terbaik, serta tiket normal berharga RM65, masing-masing habis terjual.
Jualan tiket ABPBH 36 yang mendapat sambutan hangat membuktikan peminat teruja untuk menyaksikan detik gemilang bintang pujaan bersaing dalam 16 kategori utama dan lima kategori Ekstra Tonton Paling Popular di pentas berprestij itu.
Kemuncaknya, peminat bakal menyaksikan calon yang memperoleh undian tertinggi dalam kategori tunggal di bawah 16 kategori utama atau juara kategori, diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 36 yang diinspirasikan oleh penaja utama, CONBOO.
Malam kemuncak
Pengarah ABPBH 36 merangkap Pengarang Kanan Berita Hiburan dan Projek BH, Shamshul Azree Samshir berkata, penganjur amat berterima kasih kepada semua peminat yang memberi sokongan berterusan terhadap ABPBH 36.
Sokongan diterima memenuhi definisi ‘TEGUH’ yang menjadi tema ABPBH 36. Keterujaan ditunjukkan peminat sehingga tiket ABPBH 36 ‘langsai’, membuktikan industri seni masih segar dan diminati ramai.
ABPBH bukan sahaja meraikan pencapaian artis, malah, menghubungkan mereka dengan peminat melalui pelbagai persembahan menakjubkan di pentas berprestij.
ABPBH 36 bakal meninggalkan pengalaman terindah yang tidak akan dapat dilupakan peminat.
Sementara itu, Shamshul Azree berkata, bagi peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket, malam kemuncak ABPBH 36 akan disiarkan secara langsung di TV3 dan distrim TONTON, pada 11 Oktober 2024, mulai jam 9 malam.
Sebelum ini, penganjur ABPBH 36 mengumumkan malam kemuncak ABPBH 36 akan dikendalikan tiga pengacara, iaitu artis versatil, Didie Alias yang pernah menjadi hos acara berprestij itu pada 2011, pelakon Riena Diana dan penyampai radio Fly FM, Haniff Hamzah.
Malam kemuncak ABPBH 36 bakal menyaksikan gandingan bintang legenda dan angkatan baharu dalam segmen persembahan dan penyerahan trofi berprestij ABPBH 36.
Antara barisan artis dan selebriti penyampai trofi adalah Datuk Seri Eizlan Yusof; Datuk Adi Putra; Azhar Sulaiman; Raja Azura; Rita Rudaini; Hannah Delisha; Puteri Sarah Liyana; Anna Jobling; Adira; Mawar Rashid dan Bella Astillah. Tidak ketinggalan pasangan pelawak, Atu dan Shariff Zero; Muaz Zabir; Aniq Durar dan Fitri Farouk.
Pentas ABPBH 36 bakal dihangatkan Zamani, kumpulan Spider, Hazama, Haqiem Rusli, Ernie Zakri, Marsha Milan, Shiha Zikir dan Usop.
Tidak ketinggalan artis hip hop seperti Ghidd, Tuju, Meerfly dan Benzooloo serta kumpulan De Fam.