Penyanyi, Tomok menasihati setiap penyanyi agar tidak mudah terpedaya dengan ‘janji manis’ penganjur yang menawarkan mereka untuk mengadakan konsert.
Tomok nasihat selidik latar belakang penganjur
Ketika ditemui , Tomok atau nama lengkapnya Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, para penyanyi sebaliknya perlu menyelidik dan meneliti latar belakang penganjur sebelum menandatangani kontrak kerjasama.
Saya tidak nafikan isu ditipu penganjur memang biasa berlaku, ada dalam kalangan pihak penganjur suka menyakinkan penyanyi baru untuk mengadakan konsert.
Saya rasa tak ramai artis baru yang bersedia membuat konsert, penganjur seakan memberikan harapan bulan bintang kepada artis namun bila ada perkara yang berlaku ia akan terpalit kepada artis itu sendiri.
Tomok berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert Tomok & Siti Nordiana ‘Memori Mungkin Berulang’ bertempat di The Majapahit, Kuala Lumpur pada Rabu.
Jangan mudah terpedaya
Foto: Spotify
Dalam pada itu, Tomok juga akui pernah berdepan dengan pengalaman tersebut sepanjang 25 tahun bergelar anak seni selain menyifatkan individu yang suka mengambil kesempatan ke atas orang lain itu memang wujud.
Kaki kencing memang ada di mana-mana sampai sekarang. Yang ajak kita buat persembahan dan berjanji akan bayar kemudian tetapi kemudian hilang begitu sahaja.
Tambah Tomok lagi, perbincangan antara penyanyi dan pihak penganjur adalah sangat penting bagi menjayakan sesuatu konsert.
Kita jangan bagi orang seperti ini mengawal segala hal berkaitan konsert. Busuk nanti nama artis bukan penganjur. Proses perbincangan itu penting, jangan asal boleh sahaja.
Sekadar info, syarikat milik Tomok iaitu Popsicle Records bakal mengadakan konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket menyaksikan konsert dijual pada harga RM98 sehingga RM498, selain VIP Box RM5,000 boleh ditempah di www.Ticket2u.com.my.