Buat julung kalinya, penyanyi Tomok dan Siti Nordiana bakal membuat persembahan di atas kapal persiaran Genting Dream menerusi ‘LIVE MUSIC @ SEA’ anjuran syarikat pelayaran, Resorts World Cruises, pada 19 hingga 21 Januari 2025.
Menyanyi atas cruise!
Para peminat berpeluang menikmati pengalaman percutian unik sepanjang pelayaran dua malam yang dimulakan dari Singapura – Melaka – Singapura sambil menyaksikan persembahan memukau daripada Tomok serta Siti Nordiana.
Peminat yang belayar akan berpeluang menikmati persembahan duet dua penyanyi hebat itu yang berlangsung selama sejam di panggung moden Zodiac yang mampu memuatkan 999 penonton.
Ujar Siti Nordiana, 40, dia teruja untuk membuat persembahan bersama Tomok di atas ‘pentas lautan’.
Saya teruja nak belayar bersama Tomok untuk persembahan pertama kami berdua di atas kapal persiaran Genting Dream dan sempena permulaan tahun 2025. Pastinya menarik.
Sementara itu, Tomok pula mengakui tidak sabar untuk menghiburkan dan bertemu peminat.
Saya pun tak sabar-sabar untuk belayar dan bertemu dengan para peminat kami dan berharap persembahan ini di atas kapal persiaran Genting Dream akan memberi pengalaman baru dan kenangan manis bagi para peminat kami untuk selamanya.
Persembahan mereka di atas kapal akan berlangsung pada hari kedua pelayaran iaitu pada 20 Januari 2025 (Isnin).
Untaian lagu hits!
Tomok dan Siti Nordiana akan mendendangkan untaian lagu hits solo mereka dan juga lagu duet terbaharu berjudul ‘Memori Mungkin Berulang’.
Dalam pada itu, Presiden Resorts World Cruises, Michael Goh berkata, pihaknya gembira dapat berkolabrasi dengan dua penyanyi yang namanya tidak asing lagi dalam industri tempatan.
Sempena acara ‘LIVE MUSIC @ SEA’ oleh Resorts World Cruises, pihak kami gembira dapat berkolaborasi dengan dua artis hangat di rantau ini iaitu Tomok dan Siti Nordiana.
Para peminat mereka boleh mengambil kesempatan emas ini untuk bercuti dan berlayar, melawat destinasi popular seperti Melaka dan menyaksikan persembahan mereka dalam suasana yang amat unik dan berbeza di atas kapal.
Harga pakej percutian pelayaran tiga hari dua malam ke Melaka termasuk tiket persembahan bermula dari RM 899 / SGD 269 seorang.
Sebagai kapal persiaran ‘Mesra Halal’ yang mengikuti Standard OIC/SMIIC Pertama di Dunia, pelancong Muslim akan mendapat akses kepada makanan dan minuman yang halal, khusus di restoran The Lido, yang turut menyediakan masakan vegetarian.
Ruang solat juga disediakan di atas kapal untuk kemudahan tetamu yang beragama Islam.
Tawaran lain yang menarik juga disediakan untuk tetamu termasuk persembahan pentas antarabangsa yang menakjubkan dan tayangan filem-fillem.
Selain itu, taman tema air di laut dengan kolam dan 6 gelongsor air, laluan tali dan ‘ziplines’, ‘rock climbing’, penyediaan aktiviti rekreasi untuk seisi keluarga dan banyak lagi.