Polis menahan seorang juruteknik bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat isterinya dan dua anak perempuan tergantung di kipas dalam sebuah rumah, di Lenggeng, Nilai, pada Isnin.
Ibu, dua anak mati tergantung di kipas
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada seorang lelaki mengenai penemuan mayat tersebut.
Hasil siasatan awal mendapati wanita berumur 34 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia tiga serta enam tahun dijumpai mati tergantung di kipas.
Pihak polis turut menemui nota tulisan yang menyatakan dia berdepan masalah rumah tangga.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Permohonan reman dipohon di Mahkamah Majistret Seremban pada pagi ini dan reman dibenarkan selama empat hari bermula hingga 23 Februari depan.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk proses bedah siasat.