Program travelog eksplorasi pulau, “Jom Dive” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali untuk musim kedua yang berkongsi lebih banyak lokasi keindahan pulau dan penerokaan tentang kehidupan laut.
Pelbagai Perkongsian Menarik
Perkongsian ini termasuk landskap marin di dasar laut secara terperinci, kesalinghubungan dalam kitaran alam semulajadi serta tip yang berkaitan aktiviti selaman.
Mengisi slot Check In Okey, episod pertama travelog 26 episod ini telah pun mulai menemui penonton 12 September lalu, setiap Khamis, pukul 10.30 malam di saluran Okey dan RTMKlik.
Menariknya program ini mengekalkan hos Baki Zainal yang cukup berpengalaman sebagai penyelam di samping tetamu undangan dalam kalangan pakar bidang marin, tokoh penyelam, jurulatih selaman, jurufoto dasar laut, aktivis alam sekitar dan juga selebriti tanah air yang gemar melakukan aktiviti menyelam dasar laut.
Saksikan episod penerokaan keindahan Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu mengundang tetamu Gillian Tan, Permilik Merc / Pusat Penyelidikan Ekologi Marin yang memberikan tumpuan kepentingan kima gergasi dalam kitaran ekologi marin.
Meliputi Pelbagai Lokasi
Seterusnya lokasi di sekitar Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu mengundang Jinnifer Missi (Pengajar Pelatih di Padi Master Scuba), Sekitar Bunga Raya, Kota Kinabalu; tetamu selebriti Azura Zainal mencari satu spesies ikonik di tapak selaman sekitar Bunga Raya iaitu Shaun The Sheep, satu daripada spesies Nudibranch atau lintah laut), Pulau Tiga, Kuala Penyu, Sabah; tetamu Rechey J iaitu jurulatih selaman dalam misi mencari udang karang dan Pulau Maliangin, Kudat; tetamu David Wong mencari spesis marin flora dan fauna hidup subur tanpa sebarang gangguan manusia.
Kembara selaman diteruskan di Buwan Dive Resort bersama penyampai radio, Natasha Juan memasuki kawasan perairan di Semporna merakamkan gelagat frogfish yang sedang sarat mengandung, Luma Selakan, Pulau Selakan; berkongsi tip dan juga teknik merakamkan gambar spesies makro di dasar laut bersama Nurul Azlifah, jurugambar dasar laut.
Misi Mencari Yu Paus
Saksikan juga aktiviti di Pulau Tabawan, Semporna; merakam momen berenang bersama Vortek Ikan Barrachuda, Pulau Timbun Mata, Semporna; topografi terumbu karang dan beberapa spesis lintah laut, Pulau Pom Pom, Semporna; mengetahui fungsi batu karang kepada ekosistem marin dan apakah punca ancaman yang boleh memusnahkan tumbesarannya.
Turut diketengahkan lokasi Pulau Mabul dan Sipadan; Tapak Selaman T2, Waterways, San Choi Wreck, Tokong Laut, Secret Romantik di Pulau Perhentian; Pulau Bidong, Coral Garden, Top Reef Pulau Gemia, Batu Tenggara, Octopus Reef, Pulau Kapas; Pulau Labas dan Soyak, Pulau Batu Hitam Putih, Batu Kasut, Coral Branches, Pulau Bahara Lighthouse, Coral Garden, Pulau Tokong Burung yang kesemuanya di Pulau Tioman dan episod akhir perairan sekitar Kota Kinabalu dalam misi istimewa mencari Yu Paus.