Allah SWT tidak akan menutup rezeki bagi umatnya yang telah bersungguh-sungguh berusaha serta berdoa demi mendapatkan rezeki dari-Nya. Dan Allah akan memberikan yang setimpal dengan apa yang telah diusahakan.
Sebanyak mana rezeki yang kita peroleh, hendaklah kita sentiasa mensyukurinya. Ini kerana dengan banyak bersyukur, Allah akan menambahkan nikmat itu berkali ganda kepada kita.
Berbahas soal ini, memetik laporan berita, bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-35, Bell Ngasri, 43, menerima hadiah kereta jenis Mini Cooper Clubman S sumbangan pengedar kenderaan import milik Bumiputera, di Jalan Ampang hari ini.
Kereta bernilai kira-kira RM200,000 itu diserahkan kepada Bell oleh Penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DTC Motors, Afendy Wahid.
Yang turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman dan Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.
Mengulas hadiah yang diterimanya itu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berkata beliau tidak menyangka akan menerima hadiah sebesar itu.
“Saya langsung tidak sangka akan dapat kereta kerana hadiah yang saya terima iaitu Bintang Paling Popular itu sudah cukup besar buat saya.
“Walaupun ada yang mempersoalkan kenapa saya tak dapat hadiah kereta seperti yang pernah diterima pemenang terdahulu, saya tak pernah ambil peduli pun kata-kata seperti itu.
“Apabila saya diberitahu ada pihak hendak hadiahkan kereta, saya terima sahaja kereta apa yang mereka nak beri. Kereta kancil pun saya terima.
“Alhamdulillah, saya sangat suka dengan kereta ini kerana menepati cita rasa, selain menjadi kereta idaman saya dan isteri,” katanya ketika pada sidang media selepas acara penyerahan kereta itu di sini, hari ini.
Pada 24 Julai lalu, melalui segmen Bekpes Hot dikendalikan penyampai stesen radio Hot FM iaitu KJ, Johan, Fara Fauzana dan AG, Afendy menyatakan kesudian menghadiahkan Bell sebuah kenderaan sebagai sumbangan peribadi atas kejayaan beliau merangkul trofi Bintang Paling Popular.
Pada malam kemuncak ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni pada 21 Julai lalu, Bell diumum Bintang Paling Popular menewaskan pemenang daripada 11 kategori utama lain.
Terdahulu, pada acara berprestij yang disiarkan secara langsung dari Panggung Sari, Istana Budaya (IB) oleh TV3 dan strim ‘live’ di Tonton, Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri diumum Artis Komedi Popular.
Bell yang mula berlakon sejak 1986, menewaskan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli dalam kategori itu.
Credit: Selebriti – Murai MY