Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan maut selepas menikmati kek hari jadinya, dalam satu kejadian di Punjab, India pada 25 Mac lalu.
Maut lepas makan kek hari jadi
Memetik laporan Times of India, mangsa yang dikenali sebagai Manvi menyambut ulang tahun kelahirannya pada 24 Mac sekitar 7 petang. Ketika sambutan, mangsa bersama lima ahli keluarganya telah menikmati kek tersebut yang ditempah secara dalam talian dari sebuah kedai kek terletak di Patiala.
Selepas selesai majlis sambutan hari jadi, mangsa masuk ke bilik untuk tidur dan keesokan paginya, mangsa meminta air selepas mengadu mulutnya kering. Namun tidak lama selepas itu, mangsa didapati tidak sedarkan diri dan dia segera dikejarkan ke hospital.
Kanak-kanak malang itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Difahamkan juga, ahli keluarga yang menikmati kek tersebut turut jatuh sakit dan muntah. Keluarga Manvi mendakwa kek coklat ditempah dari kedai itu mungkin tercemar atau beracun.
Susulan daripada insiden itu, mereka membuat laporan polis terhadap kedai kek tersebut. Siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan dan sampel kek itu telah dihantar untuk diuji.
Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan Manvi sedang memotong kek sempena hari lahirnya yang ke-10 tahun.