Tindakan sebuah saluran podcast iaitu Bros Gang TV (BGTV) yang menjemput seorang lelaki tertuduh berhubung kes penyundalan yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ telah mengundang rasa marah dalam kalangan netizen.
Seru Menteri Komunikasi dan Digital
Susulan itu, netizen meminta Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil untuk mengambil tindakan tegas ke atas dua individu yang mengendalikan saluran podcast berkenaan.
Salam YB Fahmi Fadzil, mohon ambil tindakan kepada content creator ini. Dari dulu buat konten podcast yang menjemput orang-orang yang runtuh akhlak.
Perkara sebegini boleh menyebabkan orang-orang menganggap pelacuran itu satu hal yang diagungkan.
Luahan tersebut dikongsikan seorang pengguna media sosial menerusi hantaran di platform X.
Dalam pada itu, rata-rata netizen yang singgah ke ruangan balas turut mengecam tindakan pengendali podcast tersebut yang disifatkan sebagai ‘penunggang’ isu panas demi meraih perhatian.
Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut meluahkan rasa kesal berhubung perkara sama.
Wan Salim berpendapat tindakan pempengaruh itu seakan mahu mempromosi serta menormalisasikan aktiviti pensundalan dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya lagi, perkara itu juga sedikit sebanyak mampu mempengaruhi minda remaja.
Walau bagaimanapun, pihak BGTV tampil menjelaskan bahawa mereka sama sekali tidak menyokong mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral dan tujuan mereka hanya mahu memaparkan realiti sebenar kehidupan kepada umum.