Lama menyepi dan jarang muncul di mana-mana acara, penyanyi popular era-70 an, Uji Rashid memberitahu dia kini banyak menghabiskan masa di rumah menjaga anaknya, pelakon Cico Harahap yang tidak sihat.
Lama menyepi
Uji atau nama sebenar Fuziah Haroun Al Rashid, 72, berkata, anaknya memerlukan perhatian dan sokongan moral daripadanya.
Saya menyepi kerana menjaga anak saya yang tidak sihat. Anak adalah amanah dari Tuhan kepada saya. Harus jalankan amanah.
Dia memerlukan ibunya, perlu ada orang menyokong dan menjaganya. Semua yang berlaku adalah kuasa Tuhan.
Uji berkongsi perkara itu menerusi video temu bual yang dimuat naik di TikTok Nona.
Semangat positif
Tambah Uji lagi, dia perlu menunjukkan semangat yang positif kepada anaknya supaya terus kuat dan melawan kesakitan.
Tak mahu menangis lagi, ketika melahirkan dia saya sudah melalui kepayahan seorang ibu. Apabila dia sudah besar, sepatutnya dia yang jaga saya tetapi sebaliknya.
Jadi saya perlu tunjukkan saya seorang wanita dan ibu yang hebat (superwoman).
Tiada lain diharapkan, Uji berdoa agar diberikan kesihatan yang baik untuk dia meneruskan kehidupan.
Saya berdoa supaya saya terus sihat untuk tahun-tahun seterunya. Apa yang kita lalui hari ini adalah langkah menuju kejayaan.
Terdahulu, media melaporkan Cico menghidap masalah jantung sehingga terpaksa dimasukkan ke wad sebuah pusat perubatan pada April tahun lalu.
Cico juga didakwa mengalami masalah kesihatan sehingga sukar untuk bercakap kerana telah dianiayai dan disihir.