Anak saudara kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Ummi Umairah Saiful Anuar, layak ke peringkat akhir World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat, Sabtu ini. Tahniah!
Bawa lagu A Natural Woman
Menerusi sebuah posting di Instagram, ibu Umairah iaitu Siti Sairah Taruddin memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar anaknya berjaya membawa pulang pingat, sekali gus mengharumkan nama negara.
Pada saringan pertama, Umairah bersaing dalam lima kategori iaitu Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety dan berjaya melangkah ke separuh akhir menerusi kategori R&B. Umairah akan membawakan lagu yang sama iaitu A Natural Woman untuk peringkat akhir pada Jumaat ini.
Umairah mara ke peringkat akhir bagi kategori 13 hingga 15 tahun. Difahamkan, Umairah akan berentap dengan tiga peserta lain.
Menurut Sairah, dia berasa bangga melihat kejayaan Umairah setakat ini. Sebagai ibu, sudah tentu dia berharap kemenangan berpihak kepada anaknya nanti.
Sudah tentu saya mahu melihat Umairah berjaya harumkan nama negara dan bawa pulang pingat, sekali gus membuktikan memiliki bakat tersendiri.
Alhamdulillah, Umairah boleh harungi tekanan sejak tiba di LA pada 28 Jun lalu. Walaupun nampak gemuruh, tetapi Umairah ada misi untuk berjaya. Perasaan gemuruh perkara biasa untuk seorang penyanyi, apatah lagi, dalam pertandingan. Jadi, saya mohon doakan Umairah berjaya.
Selain Umairah, turut berjaya ke peringkat akhir adalah pasangan kembar, Aleysha dan Ryan bagi kategori Duet, Dion Das dan Ryan Zachary (Peragaan), Kumpulan Dance Duo (Tarian Duo) dan Vanessa William (Tarian Solo).
Sekadar info, keputusan peringkat akhir akan diumumkan pada Ahad ini.