Penyanyi, Adira Suhaimi tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, kira-kira jam 9 pagi bagi prosiding pelantikan hakam.
Nekad untuk berpisah
Adira yang hadir ditemani peguam syarie, Nor Saidah Zakaria kelihatan tenang melangkah masuk ke perkarangan mahkamah dan berharap segala proses dipermudahkan.
Menurutnya, dia nekad untuk berpisah dengan suami, Datuk Red.
Alhamdulillah saya tenang sahaja. Semoga semuanya dipermudahkan seperti apa yang kami sudah bincangkan. Lebih tenang dan apa yang saya boleh cakap keputusan saya masih tetap sama, paling penting tenang.
Sementara itu, peguam syarie Nor Saidah berkata keputusan bergantung kepada Datuk Red atau nama sebenarnya, Datuk Seri Adnan Abu.
Sepatutnya hari ini untuk lantikan hakam masing-masing tapi Adira ada buat perbincangan dengan pihak Datuk Red, perbincangan akan dibentangkan di hadapan hakim dan kita tengok apa pendirian Datuk Red nanti.
Sementara itu, selang 5 minit kemudian, Datuk Red tiba di mahkamah sambil ditemani peguam syarie, Muhammad Akmal Azman
Bagaimanapun Datuk Red enggan memberikan sebarang ulasan dan terus melangkah masuk ke dalam mahkamah.
Terdahulu, Adira memfailkan perceraian terhadap suaminya, Datuk Red atau nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober 2023.
Kemudian, pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara mereka gagal apabila penyanyi itu tetap nekad untuk berpisah.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.