Aizat Amdan, bukanlah figura asing dalam bidang seni suara, kini terjun pula ke bidang sukan Muay Thai, dan telah bertarung perlawanan pertama?
“Saya sebenarnya sudah lama meminati sukan Muay Thai sejak tahun 2015 lagi dan gemar melihat peninju Muay Thai legendaris beraksi di gelanggang perlawanan, lalu saya mula berjinak-jinak menjalani latihan sehinggalah satu hari jurulatih memberitahu bahawa saya sudah bersedia untuk ‘fight’, tidak pernah terlintas di fikiran sehinggalah tarikh 12 Oktober lalu,” kongsi Aizat mengenai perlawanan Muay Thai pertamanya secara amatur.
Terbaharu, Aizat kembali dengan single berjudul “Tegap Berdiri” hasil ciptaannya sendiri bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa, terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE).
Ditanya mengapa Aizat lama tidak muncul dengan mana-mana single, dia punya alasan sendiri.
“Saya kurang gemar dengan ‘rilisan’ lagu yang bertubi-tubi, dan lebih rela mengambil masa merangka apakah langkah seterusnya dalam kerjaya saya sebagai penyanyi. Sebagai contoh, saya menghadkan kepada penghasilan 5 buah lagu sahaja dalam setahun.
Berbalik pada single, Aizat berkongsi idea tercetusnya lagu Tegap Berdiri berasal dari minatnya terhadap sukan Muay Thai yang diluahkannya ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast”, katanya,
“Uniknya lagu ini lahir secara tidak sengaja ketika saya mengendalikan sesi podcast bersama Mel dan abang saya, Amar. Ketika itu, kami berbincang tentang hal-hal semasa, tentang zaman kegemilangan sukan bola sepak negra di sekitar tahun 1998, terdetik di hati, sekalipun kalah ‘di akhir nanti kau masih tegap berdiri’ yang menjadi bait-bait lirik lagu saya.
Mesej lagu ini tentang perjuangan, ada kalanya menang dan ada kalanya kalah dalam hidup, sudah menjadi lumrah kehidupan di mana ada pasang surutnya, kadangkala naik dan turun, namun apa yang penting, kehidupan perlu diteruskan dengan minda yang positif.
Lagu “Tegap Berdiri” boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, dan YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube OfficialAizatAmdan.