Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz enggan melafazkan cerai terhadap isterinya, aktres Bella Astillah.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Aliff semasa sebutan kedua cerai talak di hadapan hakim syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis.
Masih sayang Bella
Aliff, 33, ketika disoal hakim syarie berkata, perceraian bukan satu keputusan yang boleh difikirkan dalam satu tempoh yang singkat.
Ini bukan satu keputusan yang boleh difikirkan dalam satu hari. Saya perlukan masa.
Saya tidak bersetuju (untuk bercerai dengan Bella Astillah). Saya masih sayangkan Bella.
Selain itu, hakim syarie juga menetapkan untuk melantik wakil Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).
Bella melantik kakak angkatnya iaitu Roslinda manakala Aliff melantik ibunya Siti Hafiza untuk prosiding JKP.
Perbicaraan JKP seterusnya ditangguhkan kepada 4 Jun.
Untuk rekod, Bella menfailkan permohonan cerai pada 11 Mac di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Pada Rabu, Bella mendedahkan Aliff pernah meluahkan hasrat untuk berpisah secara baik pada sekitar Februari lalu.
Bella berkata, dia terkejut dengan permintaan tersebut kerana rumah tangga mereka berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah.