Penyanyi rap, Bunga Isme akhirnya mengakui sudah mendirikan rumah tangga pada tahun lalu bersama komposer dan penulis lirik iaitu Amzar Sabri.
Rezeki berkahwin
Ketika ditemui , Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari mengucapkan rasa syukur di atas rumah tangga yang telah dibina.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 24 tahun itu menegaskan bahawa dia tidak mahu berkongsi dengan lebih terperinci tentang perkahwinan itu.
Alhamdulilah kami sudah berbincang tentang hal ini, semua urusan dipermudahkan.
Pernikahan kami sudah pun berlangsung pada tahun lalu.
Pelantun lagu Intan Payung itu juga berkata, dia sama sekali tidak menjangkakan akan bertemu jodoh pada usia muda.
Dalam masa yang sama, Bunga dan suami mahu menghormati permintaan keluarga masing-masing malah majlis hanya diadakan secara kecil-kecilan.
Saya cuma hanya boleh cakap, selepas selesai belajar, rezeki (pernikahan) itu datang lebih awal.
Saya pun tidak menjangkakannya tetapi saya mahu menghormati keputusan kedua-dua belah keluarga.
Sebenarnya kami mahu bersederhana sahaja, lebih senang dan tenang untuk menjalani kehidupan seterusnya.
Bagi saya kita kena dapat kata persetujuan daripada semua pihak. Jadi kami buat keputusan untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan.
Majlis yang diraikan bersama keluarga dan sahabat terdekat sahaja.
Bunga berkata demikian pada sidang media Warner Music Malaysia yang berlangsung di restoran Majapahit, Mont Kiara pada Selasa.
Tidak menolak rezeki
Bercerita lanjut, Bunga memaklumkan dia belum merancang untuk memiliki cahaya mata namun dia juga tidak menolak andai suatu hari dikurniakan rezeki tersebut.
Kami belum merancang untuk menimang cahaya mata kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya.
Namun kami tidak menolak sekiranya dikurniakan anak lebih awal.
Pada April lalu, status hubungan Bunga menjadi tanda tanya peminat apabila dia dilihat mengenakan pakaian sedondon dan beraya bersama vokalis kumpulan Razqa itu meraikan 1 Syawal.
Foto mesra dikongsi Amzar di akaun Instagram itu turut mengundang pertanyaan ramai sehingga ada yang membuat andaian mereka kini sudah sah bergelar suami isteri.
Bunga bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan hal demikian. Azhar juga dikatakan sudah menghantar rombongan merisik pada Februari tahun lalu.