Ratu rock negara, Ella meluahkan rasa bangga dengan kejayaan Aina Abdul selepas penyanyi tersebut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 pada 11 Oktober lalu.
Bangga dengan Aina
Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, Aina layak untuk merangkul anugerah tersebut atas kerja keras yang dilakukannya sepanjang berkecimpung dalam industri seni.
Saya berasa bangga dengan Aina kerana saya tahu dia seorang yang sangat bekerja keras dan seorang penyanyi yang selalu mencuba benda-benda baharu.
Dan akhirnya sekarang, dia dapat merangkul trofi Anugerah Bintang Paling Popular.
Ella berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) buat Skyhill Clinic bertempat di Denai Alam pada Selasa.
Aina perlu kuat
Dalam pada itu, Ella turut menitipkan pesan buat bekas protegenya ketika program nyanyian ‘Mentor Legend’ untuk sentiasa kuat meneruskan perjuangan meskipun sering menerima kata-kata kecaman daripada segelintir pihak.
Aina perlu kuat dan sentiasa yakin dengan diri dia, tak boleh dengar apa yang orang kata tentang dia.
Kalau dia dengar, tak akan bawa dia ke mana pun nanti jadi kena teruskan perjuangan.
Ketika ditanya adakah dirinya mengikuti perkembangan Aina dalam industri seni, Ella memaklumkan tidak dapat berbuat demikian atas kesibukan terhadap tuntutan kerja.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu ‘Sepi Sekuntum Mawar Merah’ sentiasa mendoakan yang terbaik buat Aina serta penyanyi-penyanyi lain untuk terus maju ke hadapan.
Saya sibuk dan banyak kerja ‘back to back’ jadi kadang-kadang ja tengok perkembangan Aina.
Apa yang saya boleh buat hanyalah berdoa untuk Aina serta penyanyi-penyanyi baharu untuk terus maju ke depan.
Sekadar info, kerjaya Aina Abdul dalam industri hiburan bermula selepas pelantun lagu ‘Sumpah’ menyertai program realiti ‘Mentor Legend’ pada tahun 2014/15.
Ketika menyertai program tersebut, Aina dinobatkan sebagai Naib Juara dengan Ella sebagai mentornya.