Penyanyi meningkat naik, Fahimi Rahmat mendedahkan dia pernah menerima tawaran untuk ‘dibela’ oleh seorang individu.
Tawaran daripada seorang wanita
Ketika ditemui , Fahimi atau nama penuhnya Muhammad Fahimi Rahmat berkata dia menerima tawaran tersebut menerusi mesej pesanan ringkas (DM) di Instagram miliknya.
DM yang paling teruk yang pernah saya dapat adalah ada seseorang yang tawarkan kepada saya, dia nak ‘bela’ saya.
Menurut Fahimi dia ditawarkan dengan wang ratusan ribu ringgit dan individu berkenaan adalah seorang wanita.
Bagaimanapun, dia mengambil tindakan untuk tidak mengendahkan mesej tersebut kerana menganggapnya tidak masuk akal.
Dia nak bayar saya RM300,000 tapi saya biarkan sahaja. Siapalah nak bayar ratus-ratus ribu dekat saya yang macam ini.
Tengok dekat situ gambar profil dia perempuan, tapi saya tak layan sebab mengarutlah.
Selain itu, Fahimi juga menzahirkan rasa syukur kerana lagu Angau mendapat sambutan yang luar biasa. Ada di antara peminatnya menjadikan lagu tersebut sebagai salah satu cara untuk memulihkan diri daripada masalah kesihatan mental yang dialami.
Ramai juga yang DM mesej positif. Ada seorang peminat ini dia mengalami masalah kemurungan dan apabila dia dengar lagu Angau, rasa murung itu berkurang dan dia dapat meningkatkan mood yang lebih baik.
Alhamdulillah. Bagi saya tercapailah apa yang nak saya sampaikan.
Fahimi berkata demikian semasa ditemui pada majlis perasmian sambutan ulang tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-18 yang berlangsung di Laman MBPJ, Selangor pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 27 tahun itu memaklumkan bahawa dia bakal melancarkan single terbaharu dan juga merancang untuk mengeluarkan album tidak lama lagi.
Saya akan keluarkan satu lagi single dan kemudian album. Jangkaannya dalam Oktober nanti sekali dengan album.
Boleh katakan, saya banyak juga buat lagu tapi banyak yang tersimpan lama. Jadi saya rasa kena keluarkan dan orang boleh dengar hasil daripada saya sendiri.
Sekadar info, majlis sambutan ulang tahun tersebut turut menampilkan beberapa orang artis seperti Victoria Ng, Santesh, Black Mentor serta diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan serta pertunjukan bunga api.
Di samping perasmian Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Petaling Jaya, Promosi ‘Petaling Jaya International Folklore Festival 2025’ turut diadakan pada malam itu.