Pelakon Fattah Amin mengesahkan sudah menerima notis tuntutan (LOD) daripada bekas isteri, Nur Fazura berhubung kenyataan di mahkamah membabitkan isu kenderaan.
LOD isu kereta
Fattah atau nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata, pihaknya sudah membalas notis terbabit dan menyerahkan kepada peguam dilantik untuk tindakan lanjut.
Perkara itu sedang diuruskan oleh peguam saya. Peguam saya akan membalas LOD itu. LOD itu saya terima sebelum saya berangkat ke umrah, pada November lalu.
Notis jawapan balas sudah diserahkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu tujuh hari bermula tarikh LOD diterima.
Setakat ini itu sahaja yang saya boleh kongsikan. Perkara seterusnya saya cuma tunggu sahaja di mahkamah.
Fattah berkata demikian ketika ditemui di sidang media Usanita Entertainment serta pelantikan aktor tersebut sebagai duta yang berlangsung di De.Wan 1958 By Chef Wan, Bangsar, pada Isnin.
Dalam pada itu, disoal mengenai isi kandungan notis berkenaan, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah enggan berkongsi secara terperinci.
Itu adalah urusan personal. Saya tak boleh kongsi, lebih baik saya simpan sendiri.
Terdahulu, isu kenderaan yang dihadiahkan Fazura kepada Fattah kembali menjadi bualan selepas difahamkan peguam aktres berkenaan menyerahkan notis tuntutan yang disebutkan.
Ini kerana ketika sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Oktober lalu, Fazura dalam satu kenyataan memberitahu dia menghadiahkan sebuah kereta kepada Fattah.
Membalas kenyataan tersebut, Fattah ketika itu menegaskan kereta itu bukan hadiah sebaliknya dia membayar ansuran bulanan menerusi potongan gaji.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 4 tahun.
Sementara itu, bercakap tentang penglibatan dalam Usanita Entertainment, Fattah bersama pelakon Sophia Albarakbah akan diberi tabggungjawab sebagai wajah mempromosikan syarikat berkenaan.
Memberi fokus kepada bidang hiburan, kedua-dua mereka akan tampil dalam sebuah drama untuk siaran digital berjudul ‘Aku Cinta Dia’ arahan Erma Fatima.
Drama arahan tersebut sebagai langkah mempromosikan produk usahawan di bawah Usanita.