Penyanyi dan pelakon, Didi Astillah mengakui bahawa dia tidak tahu menahu mengenai pengunduran penyanyi, Stacy Anam dari Konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku yang akan berlangsung pada 30 November depan.
Didi, Bella tiada kena mengena pengunduran Stacy
Ketika ditemui , Didi atau nama lengkapnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 28, memberitahu dia sebaliknya mengetahui mengenai perkara tersebut melalui media sosial.
Sebenarnya saya dapat tahu perkara itu (pengunduran Stacy) dari media sosial juga. Sebab beberapa hari ini saya sangat sibuk termasuk persediaan minggu pertama di Famili Duo Musim Keempat ini.
Dalam pada itu, Didi menegaskan dia dan kakaknya, Bella Astillah tiada kena mengena dengan pengunduran tersebut kerana ianya semua adalah di bawah tanggungjawab pihak penganjur.
Saya sebenarnya tak tahu menahu sebab itu semua dari pihak penganjur. Tentang gambar saya ada di poster atau tidak itu hak pengurusan iaitu penganjur itu sendiri. Saya tak ada hak nak masuk campur. Penarikan diri pun dari penganjur juga.
Saya dan Kak Bella tak ada kena mengena dengan penganjur atau perjalanan majlis tersebut.
Didi berkata demikian ketika ditemui di saingan minggu pertama Famili Duo di Shah Alam, Selangor, pada Ahad.
‘Saya hanya dibayar untuk menyanyi’
Jelas Didi lagi, dia dan Bella hanyalah berperanan sebagai penyanyi yang akan membuat persembahan pada Konsert A Night With Sumandak Stars.
Saya hanya dipanggil untuk datang menyanyi dan dibayar. Keberadaan saya pada konsert tersebut hanyalah sebagai penampilan khas.
Kita hanya menjadi salah seorang yang akan membuat persembahan di Konsert A Night With Sumandak Stars.
Pada Jumaat, Stacy menerusi syarikat pengurusan, Rythm & Rhyme mengumumkan mengenai penarikan dirinya dari Konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku yang bakal dilangsungkan di Zepp Kuala Lumpur pada 30 November depan.
Stacy kemudian menjelaskan bahawa pengundurannya itu disebabkan pihak penganjur tidak mematuhi syarat yang dikemukakannya. Tambah pelantun lagu Pakai Buang itu lagu, poster juga merupakan antara syarat yang diletakkan oleh pihaknya.
Selain Bella dan Didi, bintang yang turut terbabit dalam menjayakan konsert berkenaan ialah Marsha Milan, Adira, Nikki Palikat dan Wani Kayrie.