Berikutan peningkatan kes jenayah di negara ini, pempengaruh dan ushawan Hafiz Mahamad menitipkan nasihat buat pengikutnya di media sosial.
Nasihat Hafiz
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram Story, Hafiz atau nama penuhnya Abdul Hafiz Harisuddin Mahamad meluahkan rasa bimbang terhadap jenayah yang kian berleluasa.
Justeru itu, dia menasihati agar orang ramai tidak berkongsi tentang lokasi keberadaan mereka di hantaran yang dimuat naik di media sosial.
Menurut Hafiz, untuk keselamatan adalah lebih baik hantaran tersebut dimuat naik selepas beredar dari tempat tersebut.
Saya tengok banyak dekat media sosial, kes samun, rompak dan culik. Dulu tak macam ini, sekarang bila tengok rasa takut.
Bila awak makan di sebuah kedai, awak post di media sosial selepas beredar dari kedai itu. Kita tak tahu siapa yang tengok media sosial kita.
Untuk pastikan kita selamat dan tiada siapa yang ikut, post lah selepas beredar atau sudah sampai rumah.
Dalam masa yang sama, usahawan berusia 31 tahun tersebut juga mengingatkan kepada kaum Hawa supaya tidak bersendirian ketika keluar rumah.
Selain itu, Hafiz berpendapat, setiap wanita juga perlu menutup aurat dengan sempurna agar tidak mengundang perkara yang tidak diingini berlaku.
Untuk orang perempuan, malam-malam jangan keluar berseorangan. Ajaklah kawan-kawan, bahaya. Terutama di tempat-tempat gelap.
Jaga aurat. Kadang-kadang yang menonjol itu di mata orang kita tak tahu. Jadi jagalah sebaik mungkin. Kita tak tahu hati orang.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan berita kehilangan dan kematian bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Allahyarhamah Nur Farah Kartini yang dibunuh dengan tragis.
Manakala pada Rabu lalu, seorang penyanyi iaitu Allahyarham Nidza Afham telah dilaporkan hilang ketika berjogging dan kemudian mayatnya ditemui di dalam Sungai Klang.