Buat pertama kalinya, pasangan usahawan popular, Hafiz Mahamad dan Syafiqah Aina menganjurkan Anugerah AINAA Super Seven Awards sempena ulang tahun AINAA ketujuh buat usahawa-usahawan yang selama ini menjadi tulang belakang.
Bagi pengalaman pergi anugerah
Ketika ditemui , Hafiz menyatakan idea untuk mengadakan anugerah yang gah muncul selepas dia dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Gempak Most Wanted 2022 pada tahun lepas.
Saya rancang perkara ini (anugerah) ketika saya menang dua anugerah Influencer. Saya cakap dengan Aina tapi tak tahu bila. Masa bulan Julai tahun lepas, saya duji dengan masalah kesihatan.. waktu itu tiba-tiba saya terlintas nak buat.
Bulan Julai saya mula briefing dan alhamdulillah berjaya terlaksana Anugerah AINAA Super Seven Awards bersempena tahun ketujuh.
Alhamdulillah, kami sangat gembira sebab saya tak sangka kita boleh adakan satu anugerah dan berikan suasana itu kepada orang-orang susah tapi rajin berusaha.
Bagi saya, mungkin mereka ini mampu tengok dekat TV anugerah yang berprestij, suasana macam ini tapi untuk mereka rasai itu mungkin hanya angan-angan.
Tapi Alhamdulillah, saya wujudkan anugerah ini bagi mereka rasa.
Cecah jutaan ringgit
Ditanya jumlah keseluruhan yang sudah dihabiskan, Hafiz tetap dengan pendirian untuk tidak mendedahkan kerana khuatir dengan tanggapan segelintir pihak.
Kata bapa kepada dua cahaya mata itu, dia tidak kisah untuk melabur duit asalkan usahawan-usahawannya berasa gembira.
Untuk kebiasaannya, jumlah itu saya tak kongsikan sebab takut orang punya persepsi lain-lain kan. Tapi Alhamdulillah, sebenarnya ada potion atau bajet kita yang sediakan, untuk usahawan kita gembira.
Berapa pun nilai asalkan usahawan-usahawan AINAA gembira.
Ikutkan cecah juga la jutaan itu. Sebab ada hadiah seperti tiket untuk menunaikan haji. Tapi kalau untuk acara malam ini saja mungkin cecah ratusan ribu.
Usahawan tonggak kejayaan
Sementara itu, Syafiqah Aina mengakui tidak pernah terlintas di fikiran syarikat yang dibangunkan bersama suami boleh kekal sehingga tahun ketujuh meskipun banyak fasa turun naik.
Aina rasa kami berdua tak pernah sangka akan sampai ke tahap ini. Bukan senang untuk kita menjaga usahawan yang ramai. Tapi Alhamdulillah, Allah bagi kebolehan untuk kami membawa usahawan sampai ke tahap ini. Saya gembira sangat dengan pencapaian mereka.
Banyak peningkatan yang telah dilakukan seperti kerjaya, kehidupan dan cara mereka membuat keputusan juga banyak perubahan. Sebab itu, saya rasa mereka perlu dihargai sebab tanpa mereka, kami tak akan berdiri di sini.
Antara kategori yang dipertandingkan pada malam itu adalahi kategori Usahawan AINAA BBNU, AINAA Best Creator Award, AINAA Super Inspirational Award dan Usahawan AINAA Paling Popular.
Fasa undian telah bermula dari 18 Januari dan berakhir pada 17 Februari 2024.
Penghargaan istimewa buat semua usahawan AINAA yang telah berjaya mencapai hasil jualan tinggi pada tahun 2023 turut berlangsung pada malam itu.
Antara hadiah yang dimenangi oleh usahawan-usahawan ini adalah satu pakej haji, dua buah kereta Perodua Axia, 21 pakej umrah, 3 pakej percutian Maldives serta lebih dari 10 buah iPhone 15 Pro.
Malam kemuncak AINAA Super Seven Awards telah berlangsung di Zepp KL pada 18 Februari 2024 dengan menghimpunkan lebih dari 1500 orang usahawan AINAA dari serata Malaysia.
Majlis anugerah tersebut juga telah dimeriahkan dengan persembahan-persembahan hebat dari penyanyi popular Ernie Zakri, ratu rock Ella serta band kegilaan ramai, Bunkface.
Turut dijemput hadir ke majlis ini adalah beberapa orang selebriti dan pempengaruh media sosial lain seperti Elfira Loy, Emy Chacha, Muhammad Noor, Akmal Hizzat, Fatin Noraishah, Acap S, Athirah Kamaruzzaman dan ramai lagi.