Aktor meningkat naik, Hariz Hamdan sanggup melakukan aksi luar biasa bagi menjayakan drama terbaharu lakonannya iaitu X-Change yang bakal ditayangkan 12 Julai ini.
Cium kaki
Ketika ditemui , Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan berkata, babak mencium kaki aktres Farah Ahmad adalah antara cabaran besar yang perlu dihadapinya.
Meskipun sukar, namun aktor berusia 22 tahun ini tetap komited menjayakan babak tersebut walaupun pada awalnya berasa jijik dengan persekitaran yang kotor.
Semasa pertama kali saya baca skrip saya rasa tercabar juga, tapi ini adalah drama pertama saya untuk Astro Original Series, ‘my first baby’. Jadi saya akan cuba yang terbaik sebab itu saya okay sahaja untuk buat.
Memang sukar, sebelum penggambaran babak itu hujan lebat jadi bayangkan di lantai berlumpur dan berpasir dengan habuk dan lalat. Pada awalnya agak jijik untuk buat babak itu tapi saya faham ia adalah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon untuk jayakan babak tu.
Difahamkan Hariz juga perlu mengulang sebanyak tiga ke lima kali babak tersebut untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Dalam pada itu, pelakon drama Bunga Salju tersebut juga juga bersedia menerima komen dan kritikan penonton kerana percaya babak berkenaan penting dalam penceritaan drama.
Babak itu adalah penting untuk plot dan watak saya. Mesti akan ada yang komen tapi bagi saya, ianya perlu untuk jayakan babak itu.
Hariz berkata demikian pada majlis tayangan perdana drama X-Change yang berlangsung di TGV Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.
Bagaimanapun, Hariz berkata, jika ditawarkan watak dengan babak yang sama, dia akan menilai naskah tersebut terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk melakukannya.
Saya akan tengok dulu, kalau babak seperti ini kena dengan plot dan watak baru saya buat. Tidaklah saya buta-buta sahaja terima untuk buat.
Selain padat dengan babak aksi, heist dan konflik drama, siri premium Astro Originals ini turut memaparkan kisah cinta berlainan kaum atau interracial relationship, ia akan memberi sentuhan unik kepada penggemar-penggemar siri romantik, terutamanya kepada generasi muda.
Drama yang penuh debaran ini dibintangi oleh barisan pelakon berpengalaman serta yang meningkat naik termasuk Datuk Rosyam Nor, Arfie Shah, Joey Leong , Sadiq M. Jamil, Steve Yap, Marisa Yasmin, Angeline Tan, Alvin Wong, Shweta Sekhon dan ramai lagi.