Pelakon jelita, Che Puan Juliana Evans mengakui dirinya tidak mahu melakonkan watak penyondol di dalam mana-mana drama yang bakal dibintanginya.
Tak beri impak positif
Ketika ditemui , Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans berkata, dia merupakan seorang pelakon yang sangat selektif dalam memilih watak dan menganggap watak penyondol tidak memberi impak positif kepada penonton.
Tambah pelakon berusia 36 tahun itu, dia mempunyai prinsip dalam bidang lakonan di mana dia mahu membawa watak yang menyampaikan mesej bermanfaat dalam masa yang sama mahu memartabatkan wanita.
Saya memang tidak akan ambil watak penyondol. Saya tak mahu bawa karakter seperti itu. Kadang-kadang dapat peranan yang kurang sesuai, saya tolak.
Sebelum ini memang ada tawaran watak begitu. Rasanya hampir semua drama sekarang mesti ada karakter penyondol. Tapi bagi saya, watak sebegitu terlalu mudah, tidak mencabar dan sangat tipikal.
Sebagai pelakon, saya tak mahu dikenali hanya kerana watak seperti itu, karakter sebegitu merendahkan wanita.
Juliana berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa yang diadakan di TGV KLCC pada malam Isnin.
Tak nak rosakkan imej wanita
View this post on Instagram
Tambah ibu kepada dua orang anak ini, meskipun dirinya terbuka untuk menerima watak antagonis, dia tetap mahu memilih karakter yang memaparkan kualiti kerana tidak mahu merosakkan imej wanita.
Saya mahu watak yang menonjolkan wanita kuat, melindungi dan mempertahankan haknya. Itu lebih bermanfaat berbanding menjadi perampas suami orang.
Kalau watak jahat seperti dalam teater Bawang Putih Bawang Merah yang pernah saya bawakan sebelum ini, saya tiada masalah. Tapi kalau jadi penganggu rumah tangga, saya rela lepaskan.
Kadang-kadang tengok TV pun hampir semua sama. Lama-lama rasa seperti bencinya wanita digambarkan begitu. Sebab itu saya nak tampilkan kelainan.
Kita mahu tunjukkan kehebatan seorang wanita. Apa kelebihan kita. Bukan fokus terhadap perkara negatif.
Untuk perkembangan terbaharu, Juliana bakal muncul menerusi filem ‘Bisikan Dosa’ yang akan mula ditayangkan di seluruh negara pada 9 Januari ini.
Selain Juliana, filem arahan Faizul A. Rashid ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Sara Ali, Farid Kamil, Uqasha Senrose, Sherie Merlis dan ramai lagi.