Usahawa kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada dunia nyanyian.
‘Ini adalah tahun terakhir saya sebagai penyanyi’
Ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Terlajak Raya di Glamhall Damansara pada petang Ahad, Aliff berkata, keputusan itu dibuat berikutan faktor usianya yang semakin meningkat selain sering mendapat kecaman netizen.
Ini adalah tahun terakhir saya sebagai penyanyi. Tahun ini adalah tahun paling ‘suwey’ (malang).
Setiap gerak geri saya dikritik. Kes baru-baru ini juga masih dalam siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Sedikit sebanyak, ia memberi tekanan dan penyesalan kepada saya. Jadi, saya tarik diri dan reda.
Sementara itu, Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, 37, berpendapat industri hiburan tanah air akan suram dan sunyi sekiranya tidak ada individu yang berperwatakan sepertinya.
Kalau tak ada orang macam kami ni, tak ada monyet, tak ada kera macam kami ni, tak ceria Malaysia. Sebenarnya korang nak tengok gosip, kena bercerai, kena bertumbuk dan sebagainya.
Malah dia akui ramai netizen hanya berminat untuk mengetahui perkara-perkara negatif yang menimpanya berbanding perkara baik.
Kadang-kadang masalah korang ni satu, aku tak berjoget, kau tak nampak aku, aku tak terkangkang ke kau tak tengok aku! Apa masalah netizen sebenarnya?!
Sebenarnya orang Malaysia ni kalau tak ada kes-kes negatif ni mereka tak nak tengok, cuba kalau saya lancarkan produk baru, ada orang nak tengok?! Tak adanya korang nak tengok!
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam percakapan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, pada awal April lalu.
Rakaman percakapan itu adalah susulan aduan yang diterima oleh SKMM berhubung kandungan video teaser lagu berjudul Love Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.
Seterusnya, telefon bimbit dan kad sim miliknya disita dan dihantar ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.