Usahawan dan pempengaruh media sosial Khairul Aming, mendedahkan ada pihak memanipulasi wajah dan suaranya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk melakukan penipuan.
Fitnah semakin berleluasa
Menerusi sebuah video di Instagram, Khairul Aming berkata, beliau perlu tampil menjelaskan perkara tersebut bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa sindiket penipuan tersebut.
Fitnah sudah semakin berleluasa. Please tolong report scammer yang salah guna muka dan suara orang untuk menipu orang ramai.
KA (Khairul Aming) tak jual barang-barang selain dari Sambal Nyet dan Dendeng Nyet saja. Kalau barang-barang lain saya tidak jual.
Tambah Khairul Aming, individu yang tidak bertanggungjawab itu telah menggunakan suara dan wajahnya bagi tujuan mempromosikan satu video iklan jualan periuk.
Ini ada satu benda penting yang saya kena jelaskan sebab ia makin merisaukan. Suara yang anda dengar tadi (dalam video iklan promosi jualan periuk yang disertakan dalam video beliau) yang anda tengok tadi bukan suara Khairul Aming. Itulah AI yang scammer salah guna untuk tipu orang ramai.
Ada yang jual periuk, ada yang jual Apple Watch, jual blender (pengisar), macam-macamlah, macam-macam muka. Muka saya sudah diguna (salah guna) untuk macam-macam benda.. sudah di luar kawalan.
Mengakui agak sedikit kecewa, Khairul Aming menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati kerana AI kini semakin disalah guna.
AI sudah disalah guna, banyak cara sudah disalah guna. Anda akan nampak macam-macam posting yang nampak macam orang itu tapi sebenarnya bukan. Maka berhati-hatilah, jangan mudah percaya.
Di akhir video, Khairul Aming turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak menjual produk atau barangan lain selain dua produk makanan yang diusahakannya.
Kakak-kakak, makcik-makcik, abang-abang di luar sana yang tengok, tolong berhati-hati. Di Facebook sudah semakin berleluasa benda ini. Fikir, siasat, teliti baik-baik sebelum membeli sesuatu benda.
Video
View this post on Instagram